WANITA warga Britain berusia 91 tahun menjadi individu pertama diberikan suntikan vaksin melawan COVID-19 di bawah program vaksinasi terbesar dalam sejarah United Kingdom (UK), pada Selasa.

Margaret Keenan telah disuntik dua dos vaksin yang dibangunkan oleh firma farmaseutikal Amerika Syarikat (AS) dan Jerman, Pfizer dan BioNTech di University Hospital Coventry sekitar pukul 6:31 pagi waktu tempatan.

Suntikan itu merupakan dos-dos pertama disuntik daripada sejumlah 800,000 dos yang akan diedarkan dalam beberapa minggu ini.

UK muncul sebagai negara pertama memulakan program vaksinasi pandemic yang mencetus kebimbangan di seluruh dunia.

Negara berkenaan juga akan menawarkan vaksin tersebut kepada warganya yang berusia 80 tahun ke atas selain diberikan kepada petugas kesihatan dalam usaha melindungi golongan tersasar sekali gus kembali kepada kehidupan normal.

Dalam pada itu, Setiausaha Kesihatan UK, Matt Hancock menyifatkan, usaha yang dirintis kerajaan negara itu merupakan langkah pertama menuju jalan keluar dalam mengakhiri pandemik yang telah menjangkiti 67.5 juta orang dan mengorbankan 1.54 juta nyawa seluruh dunia.

“Saya berasa beremosi, teruja dan gembira untuk melihat Margaret mendapatkan suntikan pertama itu. Kita harus bersatu padu dan patuh kepada semua peraturan untuk melindungi diri daripada virus pembunuh,” ujarnya dalam wawancara bersama stesen televisyen BBC.

UK telah mendapatkan 40 juta dos vaksin Pfizer dan BioNTech iaitu mencukupi untuk 20 juta individu yang mana setiap individu akan diberikan dua dos.

Negara itu turut mengharapkan urus janji bersama firma biotek Univerisiti Oxford dan AstraZeneca dapat diluluskan supaya boleh diedarkan kepada lebih ramai dalam beberapa minggu akan datang.