TEHRAN: Iran masih belum membuat keputusan muktamad berhubung kemungkinan memeterai perjanjian damai dengan Amerika Syarikat (AS).
Menurut jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, sebarang keputusan hanya akan diumumkan selepas pihak berkuasa berkaitan berpuas hati bahawa perjanjian tersebut benar-benar melindungi kepentingan negara dan rakyat Iran.
“Setakat ini, kami belum mencapai keputusan akhir mengenai perkara itu. Ia masih sedang diteliti oleh badan-badan yang bertanggungjawab membuat keputusan,” katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan Presiden AS, Donald Trump, bahawa Washington dan Tehran berpotensi menandatangani perjanjian damai seawal hujung minggu ini.
Menurut Baghaei, Iran tetap memberi tumpuan kepada kepentingan nasional dan tidak akan tunduk kepada sebarang syarat yang dianggap tidak munasabah.
Beliau mendakwa AS dalam beberapa hari kebelakangan ini cuba mengenakan beberapa tuntutan yang tidak boleh diterima oleh Tehran.
“Republik Islam Iran telah menunjukkan melalui diplomasi dan juga di medan konflik bahawa kami tidak akan menyerah kepada syarat atau tuntutan yang tidak sah,” katanya.
Baghaei turut mendakwa sebahagian besar teks rundingan telah dimuktamadkan, namun proses itu menjadi sukar kerana AS sering mengubah pendiriannya sepanjang rundingan berlangsung.
Beliau juga menuduh Washington mengambil pendekatan yang bercanggah dalam usaha diplomatik antara kedua-dua negara.
Menurutnya, Iran menyertai rundingan dengan niat baik dan secara bertanggungjawab, namun mendakwa AS dan sekutunya telah beberapa kali melanggar gencatan senjata sepanjang tempoh rundingan.
Sementara itu, Trump berkata perjanjian yang sedang dirundingkan berpotensi membuka semula Selat Hormuz kepada aktiviti perkapalan antarabangsa.
Jika dimeterai, perjanjian tersebut akan menjadi perkembangan diplomatik terbesar setakat ini dalam usaha menamatkan konflik yang telah berlarutan selama tiga bulan dan mengorbankan ribuan nyawa selain menyebabkan harga tenaga global meningkat.
Trump sebelum ini menegaskan bahawa sebarang perjanjian perlu memastikan Iran tidak membangunkan senjata nuklear, dakwaan yang berulang kali dinafikan oleh Tehran.
Antara tuntutan utama Iran dalam rundingan itu ialah penghapusan sekatan antarabangsa, pembebasan aset negara yang dibekukan bernilai berbilion dolar serta pengiktirafan terhadap kawalannya ke atas Selat Hormuz.