Skip to main content

Sukan

Mexico mulakan Piala Dunia dengan kemenangan 2-0 ke atas Afrika Selatan

Mexico's Raul Jimenez celebrates after scoring his side's second goal during the World Cup Group A soccer match between Mexico and South Africa in Mexico City, Thursday, June 11, 2026. (AP Photo/Natacha Pisarenko)
Penyerang Mexico, Raul Jimenez meraikan jaringan kedua pasukannya dalam perlawanan bola sepak Kumpulan A Piala Dunia antara Mexico dan Afrika Selatan di Mexico City. - Foto AP

MEXICO CITY: Mexico memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan langkah bergaya apabila menewaskan Afrika Selatan 2-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A di Stadium Azteca, Khamis.

Perlawanan yang sepatutnya menjadi pesta bola sepak itu bagaimanapun dicemari insiden disiplin apabila tiga kad merah dilayangkan, termasuk dua kepada Afrika Selatan yang menamatkan perlawanan hanya dengan sembilan pemain.

Gol awal daripada Julian Quinones seawal minit kesembilan meletakkan tuan rumah di hadapan, sebelum Raul Jimenez memastikan kemenangan menerusi tandukan pada separuh masa kedua.

Mexico tampil dominan seawal wisel permulaan dengan tekanan tinggi ke atas pertahanan lawan.

Kesilapan pemain tengah Afrika Selatan, Sphephelo Sithole, membolehkan Erik Lira merampas bola sebelum mengumpan kepada Quinones yang menyudahkan peluang untuk gol pembukaan kejohanan.

Afrika Selatan bergelut untuk keluar daripada tekanan apabila Mexico terus menguasai permainan sepanjang babak pertama, namun hanya mendahului 1-0 hingga rehat.

Situasi bertambah buruk buat pasukan pelawat apabila Sithole dilayangkan kad merah pada awal separuh masa kedua kerana mengasari pemain Mexico dalam situasi peluang jaringan jelas.

Bermain dengan 10 pemain tidak mematahkan semangat Afrika Selatan sepenuhnya, namun Mexico akhirnya memanfaatkan kelebihan tersebut.

Pada minit ke-67, Jimenez menanduk masuk hantaran Roberto Alvarado untuk gol kedua Mexico, sekali gus meredakan kebimbangan penyokong tuan rumah di stadium.

Kekecewaan Afrika Selatan memuncak apabila pemain gantian Themba Zwane turut diperintah keluar padang selepas semakan VAR, menyebabkan mereka terpaksa mengharungi baki perlawanan dengan sembilan pemain.

Mexico bagaimanapun tidak terlepas daripada tindakan disiplin apabila pertahanan Cesar Montes turut dilayangkan kad merah pada masa kecederaan.

Perlawanan ini mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi perlawanan pembukaan Piala Dunia pertama yang menyaksikan tiga kad merah dilayangkan.

Walaupun kualiti permainan dianggap tidak begitu menghiburkan, kemenangan ini memberi permulaan positif kepada Mexico dalam saingan Kumpulan A yang turut dibarisi Korea Selatan dan Republik Czech.

Selain itu, kemenangan ini juga menamatkan penantian Mexico untuk mencatat kemenangan dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia selepas beberapa edisi terdahulu tanpa kejayaan.

Pemain Mexico, Erik Lira, menyifatkan kemenangan itu sebagai pengalaman yang amat bermakna dalam kariernya.

“Ia momen yang akan saya kenang sepanjang hidup. Segala pengorbanan untuk berada di sini terasa berbaloi,” katanya selepas perlawanan.

Dengan sokongan lebih 80,000 penyokong di Stadium Azteca, Mexico kini berada di landasan terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya, manakala Afrika Selatan perlu bangkit dalam baki perlawanan kumpulan bagi menghidupkan peluang mereka.
 

 

Must Watch Video

Advertisement