Ringkasan AI
- Alice Huang dilaporkan mengekalkan hubungan dengan pegawai agensi perisikan China ketika menjalin hubungan dengan bekas CEO Nvidia, Jensen Huang.
- Pihak berkuasa AS masih menyiasat dakwaan penglibatan Huang dalam aktiviti perisikan dan belum membuat sebarang kesimpulan rasmi.
- Kontroversi ini mencetuskan perbahasan mengenai keberkesanan kawalan eksport cip ke China dan keselamatan teknologi sensitif AS.
WASHINGTON: Wanita yang menjadi tumpuan dalam skandal membabitkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, dilaporkan mengekalkan hubungan dengan seorang pegawai agensi perisikan utama China selama lebih setahun ketika menjalinkan hubungan dengan beliau, menurut laporan The New York Times pada Ahad.
Laporan itu, yang memetik individu yang mengetahui kandungan laporan risikan Amerika Syarikat (AS), menyatakan Alice Huang berhubung dengan seorang pegawai daripada Kementerian Keselamatan Negara China dari musim bunga 2025 sehingga musim luruh tahun ini.
Bagaimanapun, beberapa pegawai kanan AS menegaskan siasatan masih berjalan dan belum ada kesimpulan bahawa Huang bertindak sebagai perisik bagi pihak Beijing.
Jurucakap Jensen Huang enggan mengulas mengenai laporan berkenaan. Nvidia serta Kedutaan China di Washington pula belum memberikan maklum balas kepada permintaan komen, manakala Reuters tidak berjaya menghubungi Alice Huang.
Alice Huang sebelum ini menerajui Megaspeed International yang berpangkalan di Singapura, sebuah syarikat pelanggan penting Nvidia yang pernah menyumbang jualan cip bernilai berbilion dolar kepada pengeluar semikonduktor itu.
Pihak berkuasa AS telah menyiasat Megaspeed sejak 2024 berhubung dakwaan syarikat itu menyeludup cip kecerdasan buatan (AI) canggih keluaran Nvidia ke China, sekali gus berpotensi melanggar sekatan eksport Washington.
Laporan terbaru itu muncul beberapa minggu selepas The New York Times melaporkan dakwaan bahawa Huang mungkin mempunyai kaitan dengan aktiviti perisikan China.
Pendedahan tersebut mencetuskan kontroversi besar yang akhirnya membawa kepada peletakan jawatan Jensen Huang serta kejatuhan ketara harga saham Nvidia.
Namun, pentadbiran Presiden Donald Trump berulang kali menegaskan bahawa siasatan masih belum membuktikan Huang bertindak sebagai ejen perisikan China.
Peguam Negara AS, Todd Blanche, bulan ini berkata Jabatan Kehakiman belum mencapai sebarang keputusan muktamad mengenai status Huang.
Pada Ahad, Pengarah Perisikan Negara AS, Jay Clayton, turut mengulangi pendirian yang sama dalam program State of the Union di CNN.
"Todd Blanche telah menjelaskan bahawa perkara ini masih dalam siasatan, termasuk melibatkan Huang dan syarikatnya bagi beberapa isu yang sedang diteliti. Saya akan membiarkan siasatan itu berjalan," katanya.
Kontroversi berkenaan turut mencetuskan perbahasan lebih luas mengenai keberkesanan dasar kawalan eksport cip ke China.
Ahli Kongres dari kedua-dua parti utama AS mempersoalkan sama ada pentadbiran Trump terlalu longgar dalam penguatkuasaan sekatan ke atas teknologi semikonduktor bernilai tinggi.
Senator Republikan dari Louisiana, John Kennedy, berkata perhatian utama seharusnya diberikan kepada implikasi keselamatan negara dan bukannya hubungan peribadi antara Jensen Huang dan Alice Huang.
Menurut beliau, isu yang lebih besar ialah kemungkinan kelemahan dalam pengawasan eksport teknologi sensitif yang boleh memberi manfaat kepada China.