SINGAPURA:Seorang wanita di Singapura yang dijangkiti COVID-19 pada Mac lalu ketika  hamil, selamat melahirkan bayinya bulan ini.

Bayi itu bebas COVID-19 dan dilaporkan mempunyai antibodi terhadap virus berkenaan, sekali gus memberi petunjuk baharu tentang status jangkitan daripada ibu kepada kandungannya.

"Doktor mengesyaki saya telah memindahkan antibodi kepadanya semasa mengandung," kata wanita tersebut, Celine Ng-Chan kepada akhbar Starits Times yang kemudian disiar Reuters

Ng-Chan dirawat di hospital selama hampir tiga minggu ketika dijangkiti COVID-19.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini memaklumkan belum ada bukti wanita hamil yang dijangkiti COVID-19 boleh menyebarkan virus itu kepada bayinya semasa mengandung atau semasa melahirkan.

Sehingga kini, belum ada virus aktif dijumpai dalam sampel cecair berhampiran bayi dalam rahim atau dalam susu ibu.

Doktor di Pusat Perubatan Irving New York-Presbyterian dan Columbia University sebelum ini melaporkan jangkitan COVID-19 dari ibu ke bayi baru lahir jarang berlaku, seperti yang dicatatkan dalam jurnal JAMA Pediatrics edisi Oktober.