KUALA LUMPUR: Perintah mahkamah yang dikeluarkan berhubung pembayaran denda tidak boleh mengubah atau mengatasi Titah Pengampunan Yang di-Pertuan Agong, tegas peguam yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tetuan Shafee & Co dalam satu kenyataan berkata, Perintah Pelepasan atas Pembayaran Denda atau Order of Discharge on Payment of Fine yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada 6 November perlu dibaca secara keseluruhannya.
Menurut mereka, perintah berkenaan dibuat susulan pembayaran denda, manakala pelepasan yang diberikan terbit daripada pembayaran tersebut.
“Di sisi undang-undang, pembayaran denda melepaskan liabiliti untuk membayar denda itu.
“Pembayaran itu, dengan sendirinya, tidak boleh menamatkan hukuman pemenjaraan,” menurut kenyataan itu.
Peguam berkenaan turut mendakwa perintah sama merekodkan bahawa anak guam mereka hendaklah menjalani hukuman secara tahanan di rumah selaras dengan Perintah Pengampunan.
Dalam pada itu, mereka menegaskan Perintah Pengampunan merupakan pelaksanaan kuasa prerogatif pengampunan Seri Paduka Baginda di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Kuasa itu milik Seri Paduka Baginda semata-mata.
“Tiada mana-mana mahkamah, apatah lagi Peguam Negara, yang berhak membuka semula cara Seri Paduka Baginda melaksanakan kuasa itu setelah Baginda menerima nasihat Lembaga Pengampunan, yang turut disertai secara aktif oleh Peguam Negara sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, Peguam Najib turut menegaskan perintah mahkamah yang dikeluarkan bagi melaksanakan Perintah Pengampunan, selepas pembayaran denda RM50 juta direkodkan, tidak boleh mengubah maksud titah tersebut.
Menurut mereka, Jabatan Peguam Negara (AGC) juga masih belum menarik balik kenyataan bertarikh 6 November 2026 berhubung 'penangguhan sementara' serta belum mengumumkan bahawa penangguhan itu telah ditarik balik.
“Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, anak guam kami, Datuk Seri Najib, masih berada di Penjara Kajang dan Titah Seri Paduka Baginda nampaknya masih belum dilaksanakan,” katanya.
"Kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara itu wajar dilihat sebagai “keingkaran yang nyata” terhadap Titah Seri Paduka Baginda.
Pada Jumaat, Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan September lalu.