Pengundi kali pertama, Suvisa Rachamontree adalah antara ribuan pengundi awal yang berduyun-duyun ke stesen mengundi Wat That Thong di Jalan Sukhumvit, di sini bagi melaksanakan tanggungjawab dalam menentukan masa depan negara.

Keterujaan untuk mengundi kali pertama tidak dapat dibendung oleh wanita berusia 20 tahun ini dari Isan timur laut Thailand sehingga sanggup berada di stesen mengundi sewal jam 7 pagi.

"Ini merupakan pilihan raya yang sudah lama dinanti-nantikan. Saya amat teruja untuk mengundi kali ini. Saya harap parti dan calon yang saya undi akan memenangi pilihan raya umum nanti.

"Saya berharap kerajaan baharu yang akan dibentuk serta anggota Parlimen akan bekerja keras untuk memacu negara ke puncak yang lebih tinggi," katanya pada Ahad.

BACA: Ceritalah Thailand - Adakah Thaksin masih relevan?

BACA: Ceritalah ASEAN - Pilihan raya Thai: Apa Prayuth akan lakukan untuk kekal berkuasa?

Sementara itu, penjawat awam berusia 53 tahun, Panatsta Phontonglork berkata beliau teruja untuk mengundi kerana ini merupakan pilihan raya pertama yang diadakan selepas rampasan kuasa tentera 2014.

"Oleh kerana saya akan terlibat dalam proses pengundian pada 24 Mac, justeru saya mendaftar sebagai pengundi awal kerana saya tidak mahu melepaskan peluang untuk mengundi," katanya.

Sunvisa dan Panatsa adalah antara lebih 2.6 juta pengundi awal yang mengundi di luar kawasan pengundian mereka dalam pilihan raya Thailand pada 24 Mac.

Tinjauan di stesen mengundi di bandar raya ini mendapati kebanyakannya dikerumuni oleh pengundi yang beratur panjang dan kehadiran pengundi adalah tinggi.

Pengundi awal tiba di stesen mengundi seawal pukul 6 pagi untuk menyemak nama dan menunggu bagi membuang undi.

Pengundian bermula pukul 8 pagi dan berakhir 5.30 petang di 380 stesen mengundi di Negara Gajah Putih itu. Mereka yang telah mendaftar sebagai pengundi awal tapi gagal hadir pada Ahad tidak layak mengundi pada 24 Mac nanti.

-- BERNAMA