Enami
Gambar oleh Pattarachai Prechapanich (www.bangkokpost.com)


KUALA LUMPUR: ‘Popular sekelip mata’, itulah yang terjadi kepada seorang wartawan warganegara Jepun, Daijiro Enami yang dikatakan mempunyai wajah yang kacak.

Kerana kekacakannya, Enami telah menjadi tumpuan ketika sedang membuat liputan mengenai ketegangan Pilihan Raya Umum (PRU) di Bangkok, Thailand pada 2 Feb.

Ramai wartawan-wartawan serta penunjuk perasaan warganegara Thailand memuatnaik gambar bersama Enami dan aksi-aksinya ketika bertugas di media sosial seperti Instagram, Twitter dan Facebook, membuatkan nama Enami menjadi trending.

Ketika di sana, Enami telah menemubual Ketua Protes Anti-Kerajaan, Suthep Thaugsuban serta membuat liputan tentang PRU di daerah Bung Kum pada Ahad.

Bung Kum adalah daerah tumpuan di mana Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra membuang undi.


Populariti wartawan dari Fuji Television Network ini dikatakan telah membuatkan suasana kecoh di sana menjadi reda seketika.

Menurut Akhbar Thai Rath yang turut membuat laporan tentang wartawan kacak ini, Enami, 28, berasal dari Kangangawa dan mempunyai ketinggian 180 sentimeter.

Enami juga merupakan anak tunggal dalam keluarganya serta mempunyai minat dalam sukan besbol dan renang.