WASHINGTON: White House pada Khamis menarik balik pencalonan Richard "Lance" Schroyer oleh Presiden Donald Trump bagi mengetuai agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Jerman dpa.
Trump mengumumkan Schroyer sebagai calon pada Jun dan menggesa Senat mengesahkan pelantikan itu.
Schroyer merupakan bekas tentera negeri Oklahoma dan bekas Marin AS.
White House tidak memberikan alasan penarikan itu.
Jawatan itu kosong selepas pemangku pengarah ICE Todd Lyons mengumumkan beliau akan berundur beberapa bulan lepas.
ICE menjadi simbol dasar imigresen Trump yang agresif pada penggal keduanya, yang bermula Januari 2025.
Agensi itu melakukan serbuan imigresen yang mencetuskan kontroversi di bandar pimpinan Demokrat, dengan beberapa pegawai memakai topeng untuk menyembunyikan identiti mereka.
Operasi itu menyebabkan bantahan meluas di seluruh AS. Reaksi orang ramai semakin kuat selepas dua warga AS maut ditembak pegawai persekutuan daripada pelbagai agensi dalam satu operasi di Minneapolis pada Januari.
-- BERNAMA-dpa