WHO beri amaran peningkatan mendadak kes HIV di Filipina, Fiji dan Papua New Guinea

WHO dan UNAIDS Asia-Pasifik bersidang untuk menangani krisis HIV di rantau ini di tengah-tengah peningkatan wabak dan mencari penyelesaian untuk mempercepat kemajuan dalam pencegahan HIV. - Gambar fail/Reuters
MANILA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di rantau Pasifik Barat memberikan amaran mengenai "peningkatan mendadak" kes virus HIV di Filipina, Fiji dan Papua New Guinea dalam beberapa tahun kebelakangan ini, "dengan implikasi terhadap keselamatan negara dan serantau," lapor Xinhua.
Dalam mesyuarat pada Rabu di Fiji yang menghimpunkan menteri kesihatan dari 38 negara dan kawasan di Rantau Pasifik Barat, serta masyarakat sivil dan rakan kongsi pembangunan, WHO dan UNAIDS Asia-Pasifik bersidang untuk menangani krisis HIV di rantau ini di tengah-tengah peningkatan wabak dan mencari penyelesaian untuk mempercepat kemajuan dalam pencegahan HIV.
Di Fiji, mesyuarat itu menyatakan yang jangkitan baharu meningkat 10 kali ganda sepanjang dekad yang lepas, termasuk lonjakan besar pada 2024. Pengambilan dadah menerusi suntikan dikenal pasti sebagai faktor utama, dengan risiko penularan jangkitan ke negara pulau Pasifik yang lain.
Dari 2010 hingga 2024, jangkitan baharu meningkat kira-kira enam kali ganda di Filipina.
Pada Jun lepas, Kerajaan Papua New Guinea mengisytiharkan HIV sebagai krisis kebangsaan sebagai tindak balas kepada peningkatan jangkitan dalam kalangan wanita usia reproduktif dan kanak-kanak.
"Di samping jurang dalam pencegahan, tindak balas di negara terbabit, seperti di kebanyakan bahagian rantau, terjejas kerana diagnosis lewat serta liputan dan akses rawatan yang tidak mencukupi," menurut WHO dalam satu kenyataan yang diterbitkan di laman sesawangnya.
"HIV belum 'berakhir' seperti yang jelas ditunjukkan oleh situasi di seluruh Pasifik Barat," kata Saia Ma'u Piukala, Pengarah Serantau WHO untuk Pasifik Barat, menekankan keperluan "untuk pendekatan strategik dan disasarkan terhadap pencegahan, ujian dan rawatan yang disesuaikan dengan wabak dan populasi yang terjejas tertentu."
"Lebih 40 tahun dalam tindak balas HIV global, kita tahu apa yang perlu kita lakukan," katanya. "Sekarang adalah masa untuk bertindak, segera dan bersama-sama. Sikap berpuas hati bukan pilihan. Tiada masa untuk dibazirkan," kata Piukala.
Eamonn Murphy, Pengarah Serantau UNAIDS Asia-Pasifik, Eropah Timur dan Asia Tengah, mengulangi keperluan mendesak untuk tindak balas yang lebih berkesan terhadap krisis itu.
"Pelaburan yang kita buat dalam perkhidmatan HIV untuk populasi yang paling terpinggir akhirnya turut menjamin kesihatan komuniti yang lebih luas," kata Murphy, menekankan keperluan untuk "kemahuan politik dan tanggungjawab bersama untuk menyasarkan pelaburan ke arah intervensi yang betul untuk orang yang betul di lokasi yang betul."
"Perbualan juga diperlukan mengenai hak semua orang untuk kesihatan, maruah dan kehidupan yang bebas daripada stigma dan diskriminasi," katanya.
Mesyuarat turut memuji Australia, Kemboja, Malaysia, New Zealand dan Vietnam kerana mengambil langkah segera, termasuk mengisytiharkan darurat kesihatan awam dan melaksanakan strategi baharu untuk memerangi penularan.
Semua negara ini "menunjukkan bahawa hasil yang kukuh mampu dicapai apabila program HIV menggabungkan strategi pencegahan berasaskan bukti dengan akses universal kepada rawatan antiretrovirus."
Mesyuarat itu diakhiri dengan gesaan tindakan menangani HIV terus menjadi agenda utama negara melalui kemahuan politik, mengurangkan mudarat bagi orang yang menyuntik dadah, memastikan diagnosis awal dan rawatan HIV dalam penjagaan kesihatan primer, membiayai tindak balas di bawah perlindungan kesihatan universal dan menangani stigma serta diskriminasi, yang kekal sebagai halangan besar kepada ujian, akses kepada perkhidmatan penting selain kepatuhan rawatan.
--BERNAMA-XINHUA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


