PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa semua negara yang melonggarkan perintah kawalan penularan wabak supaya bertindak pantas mengesan peningkatan kes baru COVID-19.

Ketua Teknikal Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr Maria Van Kerkhove menegaskan, persediaan itu penting bagi memastikan tidak berlaku serangan gelombang kedua apabila sekatan ditarik semula.

Tambahnya, beberapa negara sudah membuka semula kegiatan ekonomi selepas menunjukkan keupayaan menamatkan penularan wabak itu.

"Kita lihat di Asia, negara seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Singapura sudah menarik balik beberapa langkah kawalan kesihatan dan sosial masyarakat secara beransur-ansur serta terkawal.

"Kita sedang belajar daripada pengalaman negara berkenaan yang secara perlahan-lahan membuka semula ekonomi," ujarnya.

Tambah Van Kerkhove, Jepun dan Singapura menjadi contoh, dengan memberi perhatian kepada wabak yang tercetus dalam keadaan tertentu, di mana Singapura kini menguruskan wabak di asrama pekerja asing yang menjadi kluster terbesar.

Mengulas lanjut mengenai situasi di Singapura, Van Kerkhove berkata republik itu sedang mengenal pasti semua kes dan sedaya upaya cuba menamatkan penularan.

Republik itu sedang menambah baik sistem untuk mengenal pasti wabak dan orang dijangkiti dengan meningkatkan keupayaan melakukan melalui ujian dan menjejaki kontak.

"Jadi, apa yang kita lihat ialah walaupun mereka menarik balik beberapa langkah bagi mengekang penularan wabak, mereka juga pantas mengenal pasti kes baharu.

"Seandainya kes berkenaan melonjak, maka mereka sedaya upaya cuba untuk menamatkan penularan gelombang kedua seawal mungkin," katanya lagi