Skip to main content

Dunia

Hun Manet pacu transformasi ekonomi Kemboja melalui teknologi tinggi dan AI

KUALA LUMPUR, Oct 28 -- Cambodian Prime Minister Hun Manet during the 28th ASEAN-China Summit in conjunction 47th ASEAN Summit and Related Summits at the Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) today.
Dengan jumlah penduduk dijangka mencecah 24 juta menjelang 2050, Kemboja melihat pembangunan industri berasaskan teknologi sebagai kunci menyediakan pekerjaan mahir kepada tenaga kerja muda. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

PHNOM PENH: Kemboja sedang melaksanakan antara transformasi ekonomi paling besar dalam tempoh beberapa dekad dengan menjadikan industri berteknologi tinggi dan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu baharu pertumbuhan negara.

Langkah itu mencerminkan usaha kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada sektor tradisional seperti pembuatan pakaian, pelancongan dan pertanian, sebaliknya beralih kepada ekonomi berteraskan inovasi yang mampu menarik pelaburan bernilai tinggi serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan mahir.

Ketika berucap pada Pertubuhan Kerjasama Kecerdasan Buatan Dunia di Shanghai, Perdana Menteri Hun Manet menegaskan kesungguhan Kemboja untuk menempatkan negara itu pada kedudukan lebih kukuh dalam era digital.

“AI perlu menghasilkan manfaat nyata yang disesuaikan dengan keperluan tempatan, memperkukuh infrastruktur digital, menyokong pembangunan modal insan khusus, merancakkan ekosistem inovasi tempatan dan membuka peluang bagi pertumbuhan ekonomi.

"Kemboja tidak lama lagi akan menerima pakai strategi AI bagi meningkatkan produktiviti dalam sektor-sektor utama, memperbaiki kualiti hidup dan menggalakkan pertumbuhan yang lebih inklusif," kata beliau

Beliau berkata penggunaan AI, automasi dan teknologi pembuatan canggih dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi selain menarik pelaburan berintensifkan teknologi.

Transformasi ekonomi itu digerakkan ketika Kemboja berdepan cabaran ekonomi yang semakin ketara termasuk pertumbuhan yang perlahan, kemerosotan sektor pelancongan, ketidaktentuan perdagangan global serta keperluan menyediakan peluang pekerjaan berkualiti kepada penduduk mudanya.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 8 Julai menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Kemboja bagi 2026 kepada tiga peratus berikutan permintaan domestik yang lemah, ketidaktentuan perdagangan global dan kenaikan harga tenaga.

IMF turut mengunjurkan kadar inflasi meningkat kepada purata 5.6 peratus.

Menurut IMF, kenaikan harga tenaga, ketidaktentuan dasar perdagangan, kelembapan sektor pelancongan, permintaan luar yang lebih perlahan  serta kegiatan penipuan dalam negara turh. ut menjejaskan imej Kemboja.

Konflik ketenteraan di sempadan Kemboja-Thailand sejak Julai tahun lepas turut memburukkan keadaan apabila penutupan sempadan menghentikan sepenuhnya perdagangan rentas sempadan.

Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, ketibaan pelancong merosot 47.8 peratus kepada hanya 1.54 juta orang, manakala jualan tiket ke Taman Arkeologi Angkor susut hampir 30 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Dengan jumlah penduduk dijangka mencecah 24 juta menjelang 2050, kerajaan melihat pembangunan industri berasaskan teknologi sebagai kunci menyediakan pekerjaan mahir kepada tenaga kerja muda.

Dalam perutusannya sempena Hari Penduduk Sedunia pada 11 Julai, Hun Manet berkata kegagalan menyediakan peluang kepada golongan muda hari ini akan memberi kesan jangka panjang.

"Jika kita gagal menyediakan peluang dan sokongan kepada golongan muda hari ini, kita akan berdepan cabaran pada masa depan seperti kegagalan meraih dividen demografi kedua, kekurangan tenaga kerja mahir serta peningkatan beban ekonomi dan sosial akibat penuaan penduduk," katanya.

Kerajaan turut menetapkan beberapa sasaran strategik termasuk keluar daripada status Negara Kurang Membangun menjelang Disember 2029, menjadi negara berpendapatan sederhana tinggi menjelang 2030 dan mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2050.

Peralihan itu amat penting kerana Kemboja dijangka keluar daripada kategori Negara Kurang Membangun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2029, sekali gus kehilangan pelbagai keistimewaan perdagangan yang sekian lama menyokong pertumbuhan eksport negara.

Bagi mempercepat transformasi itu, Hun Manet mengadakan pertemuan dengan sekurang-kurangnya sembilan konglomerat terkemuka China dalam sektor kereta api, pengeluaran tablet, tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan dan teknologi digital semasa lawatan rasminya ke China dari 15 hingga 17 Julai bagi menarik lebih banyak pelaburan ke Kemboja.

Dalam masa yang sama, Persidangan Pembangunan Perindustrian Kemboja dan Ekspo Industri 2026 membuka tirainya di Pusat Konvensyen dan Pameran Diamond Island, Phnom Penh pada Jumaat.

Acara selama dua hari itu menghimpunkan lebih 160 syarikat China yang terbabit dalam bidang automasi, kenderaan elektrik, infrastruktur digital dan peralatan pembuatan termaju.

Menteri Industri, Sains, Teknologi dan Inovasi Kemboja Hem Vanndy berkata negara itu tidak mempunyai pilihan selain mempercepat penerapan teknologi bagi meningkatkan daya saing.

"Dalam ekonomi global yang semakin kompetitif, Kemboja tidak boleh ketinggalan dalam bidang teknologi. Kita perlu menerima pakai teknologi baharu untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos pengeluaran, memperbaiki kualiti produk dan memperkukuh daya saing perusahaan kita," katanya pada pelancaran pameran berkenaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement