MADRID/KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy membincangkan persiapan bagi rundingan seterusnya dengan Rusia di Abu Dhabi bersama pegawai Amerika Syarikat (AS) ketika mengadakan lawatan ke Madrid, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Zelenskyy pada Rabu berkata, beliau telah mengadakan perbualan telefon dengan Utusan Khas AS, Steve Witkoff dan Jared Kushner, menantu Presiden AS, Donald Trump.
Menurut pejabatnya di Kyiv, Zelenskyy menegaskan bahawa rundingan itu perlu diteruskan bagi menamatkan perang dengan segera, sambil menyatakan Ukraine bersedia mengambil langkah yang diperlukan dan telah mengemukakan cadangannya kepada pihak AS.
“Tiada alternatif selain keamanan, dan jaminan keselamatan pascaperang mestilah benar-benar kukuh. Kami sedang berusaha untuk merealisasikannya,” kata Zelenskyy.
Pertemuan tiga hala itu, dengan AS bertindak sebagai pengantara antara Ukraine dan Rusia, bertujuan untuk menyambung semula proses diplomatik yang terhenti pada Februari.
Rundingan berkenaan dijadual berlangsung di ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu pada Selasa dan Rabu.
Bagaimanapun, harapan untuk mencapai kejayaan besar dalam rundingan itu masih rendah memandangkan Moscow setakat ini tidak menunjukkan kesediaan untuk menggugurkan matlamatnya menundukkan Ukraine.
Beliau turut mengalu-alukan rundingan yang diadakan di Brussels pada Rabu mengenai usaha pembinaan semula negaranya yang terjejas akibat peperangan.
Rundingan itu disertai Jerman, Perancis, Britain, AS, Kesatuan Eropah (EU), Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Bank Dunia dan Ukraine.
Menurut Zelenskyy, jaminan keselamatan untuk Ukraine akan dibincangkan di Brussels pada Khamis.
Beliau berkata, lawatannya ke Sepanyol pula memberi tumpuan kepada kerjasama pertahanan, sistem pertahanan udara serta perlindungan orang awam.
-- BERNAMA-dpa