Amerika Syarikat (AS) yakin China akan memenuhi janjinya dalam perjanjian perdagangan fasa pertama yang ditandatangani sebelum ini.

Ini terutamanya komitmen China untuk membeli produk pertanian bernilai AS$40 ke 50 bilion setahun daripada AS.

Menurut wakil perdagangan AS, Robert Lighthizer, komitmen ini diulangi Beijing dalam setiap pertemuannya dengan wakil China.

Dalam masa yang sama, Lighthizer menyatakan industri perfileman akan turut dibincangkan dalam fasa seterusnya perjanjian perdagangan bersama China.

Lighthizer turut menjelaskan AS telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan perjanjian perdagangan bebas baru dengan Mexico dan Kanada berkuat kuasa 1 Julai.

Tambahnya, pentadbiran Presiden AS, Donald Trump akan turut berbincang untuk mengenal pasti punca Mexico gagal meluluskan sebarang produk bioteknologi dari AS sejak dua tahun lepas.

Washington, menurutnya, akan turut memantau pembelian produk tenusu AS oleh Kanada.