Skip to main content

Dunia

PM UK lihat keputusan pilihan raya pertengahan penggal AS sebagai peluang tamatkan konflik Iran, kurangkan kos sara hidup

Andy Burnham bercakap kepada media di luar Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel di St. John's, Antigua and Barbuda, 4 Nov 2026. (Foto AP)
Andy Burnham bercakap kepada media di luar Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel di St. John's, Antigua and Barbuda, 4 Nov 2026. (Foto AP)
Advertisement

LONDON: Perdana Menteri Britain Andy Burnham berkata pada Rabu keputusan Pilihan Raya Pertengahan Penggal Amerika Syarikat (AS) memberi peluang untuk menyatukan usaha antarabangsa bagi menyelesaikan konflik Asia Barat serta mengurangkan tekanan kos sara hidup, lapor Anadolu Ajansi.

Bercakap kepada agensi penyiaran di luar Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel, Burnham menyambut baik penerimaan Presiden AS Donald Trump terhadap keputusan pilihan raya itu susulan kekalahan Parti Republikan.

"Presiden Trump telah menerima keputusan itu dan saya merasakan dunia kini mempunyai peluang untuk bersatu menangani isu yang memberi kesan kepada kita semua - iaitu kos sara hidup," katanya.

Advertisement

Burnham berkata menangani peningkatan kos sara hidup menjadi keutamaan sepanjang tiga bulan pertamanya di Downing Street, namun menekankan bahawa penyelesaian konflik Timur Tengah amat penting bagi mengurangkan beban kewangan isi rumah.

Perdana Menteri Britain itu berkata beliau akan "berusaha ke arah meredakan ketegangan" dan menzahirkan harapan agar Selat Hormuz dibuka semula.

Advertisement

"Masyarakat mahu melihat dunia bersatu dan memberi tumpuan kepada perkara yang penting bagi mereka - dan itulah yang dizahirkan oleh para pengundi di Amerika Syarikat, pada pandangan saya," katanya.

Parti Demokrat memenangi kawalan ke atas kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat dalam Pilihan Raya Pertengahan Penggal pada Selasa, sekali gus menamatkan penguasaan Republikan di Kongres.

Keputusan itu dijangka memberi kuasa lebih besar kepada Demokrat untuk menyekat agenda perundangan Trump. Sebelum ini, Republikan memegang majoriti tipis di kedua-dua dewan berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU 

 

 

Must Watch Video

Advertisement