TRAGEDI meletupnya kapal selam Titan dari OceanGate yang membawa lima pelancong melihat rangka kapal persiaran mewah Titanic di Lautan Atlantik masih menjadi pemberitaan dunia.

Terkini, YouTuber terkaya dunia, Mr Beast mendakwa sempat dijemput menjadi ‘tetamu’ yang ikut melakukan ekspedisi tersebut, awal bulan ini.

Pengakuan tersebut dibuat menerusi ciapan Twitter miliknya pada Ahad.

“Saya telah diajak untuk menaiki kapal selam Titan. Saya menolaknya,” tulis Mr Beast.

Dia juga mengaku tidak dapat membayangkan keadaan dirinya jika bersetuju untuk turut serta dalam ekspedisi tersebut.

“Tak boleh bayangkan. Agak menakutkan jika saya di situ,” katanya ringkas.

Mr Beast atau nama sebenarnya Jimmy Donaldson, 25, dianggarkan memiliki kekayaan sehingga AS$500 juta.

Terdahulu media massa melaporkan lima penumpang termasuk pilot kapal selam tersebut yang juga merupakan CEO OceanGate, Stockton Rush terbunuh bersama Shahzada Dawood, anaknya Suleman Dawood, Hamish Harding dan Paul-Henri Nargeolet selepas Titan hilang dan dilaporkan meletup beberapa ratus meter daripada bangkai kapal Titanic. -- Gempak