DOHA: Ulama tersohor dunia Sheikh Yusuf Al-Qaradawi disahkan dijangkiti COVID-19.

Perkara itu dimaklumkan menerusi akaun Twitter rasmi beliau pada Sabtu petang.

Bekas Ketua Kesatuan Ulama Sedunia itu kini dilaporkan berada dalam keadaan baik dan sedang menerima penjagaan yang sewajarnya.

Dalam hantaran di Twitter, beliau memohon supaya pengikut-pengikutnya mendoakan pemulihan dan kesejahteraannya.


“Sheikh Al-Qaradawi telah dijangkiti koronavirus dan beliau kini dalam keadaan baik, syukur kepada Tuhan.

"Beliau sedang dirawat, menenangkan pengikutnya, dan meminta anda mendoakan pemulihan dan kesihatannya.”

Anaknya Abdul-Rahman Yusuf Al-Qaradawi dalam pada itu mengesahkan berita ini di akaun Twitter dan memaklumkan bahawa ayahnya telah menerima vaksin COVID-19 sebelum ini.

Beliau juga meminta masyarakat mendoakan kesihatan ayahnya, lapor portal Arabnews.

Al-Qaradawi, 94, berasal dari Mesir yang kini menetap di Qatar.

Beliau merupakan pemimpin agung Muslim Brotherhood, ketua majlis fatwa dan penyelidikan Eropah, juga pengasas IslamOnline.net.