Thailand telah merekodkan kira-kira 200 kes Zika sejak Januari, kata Kementerian Kesihatan negara itu pada Selasa, menjadikannya antara negara yang paling tinggi pengesahan kes jangkitan di rantau ini.

Pendedahan itu adalah yang kali pertama dilakukan kementerian berkenaan pada tahun ini.

Pengumuman berkenaan dibuat sehari selepas pakar-pakar kesihatan mendesak kerajaan Thailand agar lebih telus dalam melaporkan ancaman Zika kepada umum, memandangkan sebelum ini pegawai-pegawai kesihatan kerajaan tidak begitu memberi tumpuan terhadap jangkitan virus bawaan nyamuk itu yang semakin meningkat.

Pegawai-pegawai kesihatan itu menyatakan bahawa sekiranya maklumat tentang Zika didedahkan, ia mampu menjejaskan industri pelancongan Thailand.

“Sejak Januari, kami telah merekodkan kira-kira 200 kes Zika dan dalam tempoh tiga minggu ini, kami mengesahkan terdapat 20 kes baharu setiap minggu secara purata,” ujar jurucakap Kementerian Kesihatan Awam, Suwannachai Wattanayingcharoenchai kepada Reuters.

Tanpa memberi maklumat lanjutan, Suwannachai mengatakan bahawa angka tersebut ‘masih terkawal’.

Singapura melaporkan mengenai pesakit jangkitan tempatan pertamanya pada 27 Ogos dan sejak itu, bilangan kes jangkitan telah meningkat hingga 300 orang.

Malaysia dan Filipina juga melaporkan kes secara terbuka.

Virus yang menjadi ancaman di banyak negara di Amerika Latin dan Caribbean, telah dikesan di Asia sejak bertahun-tahun lamanya.

Suwannachai bukan saja menasihatkan orang ramai agar tidak panik, malah menegaskan bahawa para pelancong tidak perlu berasa bimbang.

"Orang ramai tidak perlu takut untuk melawat daerah yang mempunyai kes jangkitan Zika,” ujarnya.