Pelancong yang berbelanja sepanjang berada di Malaysia akan dapat menuntut jumlah yang dibelanjakan ke atas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi barangan yang dibeli melalui kaunter Skim Bayaran Balik Pelancongan (TRS) di lapan lapangan terbang utama bermula hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Datuk Abdul Rahman Othman berkata pembukaan kaunter itu membolehkan pelancong untuk menebus jumlah yang dibelanjakan tidak kurang daripada RM300 di 700 peruncit TRS berdaftar di seluruh negara sebelum kembali ke negara mereka.

"Kaunter akan disediakan di lapangan terbang Senai, Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2, Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang," katanya dalam sidang media selepas pelancaran TRS CBP Malaysia di sini, semalam.

Turut hadir ialah Pengarah IRIS Global Blue TRS Malaysia Sdn Bhd (IGB) Datuk Hamdan Mohd Hassan, Ketua Komersial Global Blue South Asia Nigel Dasler dan Penolong Kanan Pengarah Kastam II Sakenah Begum Md Nazir.

Abdul Rahman mengingatkan pelancong untuk mendapatkan Borang Bebas Cukai selepas membuat bayaran sebelum menuntut pembayaran balik.