JULAI 2022, genaplah 10 tahun usia lagu yang pernah mencipta fenomena di seluruh dunia, Gangnam Style daripada artis Korea Selatan, Psy.

Hampir 10 tahun selepas lagu itu ‘meletup luar biasa’, Psy kini menjalani kehidupan dengan sangat indah, bebas daripada tekanan untuk mengulangi kejayan itu dan pastinya, sentiasa bangga dengan karya masterpiece itu.

Dimuat naik ke YouTube pada 15 Julai 2012, video muzik dengan tarian unik itu menjadi mega hit, tidak pernah dibayangkannya akan popular sebegitu rupa.

Bahkan, klip video tersebut merupakan video pertama berjaya mencapai satu bilion tontonan dan secara tidak langsung, Psy berjaya mencapai apa yang tidak dapat dilakukan industri K-Pop sebelum itu, iaitu pengiktirafan di peringkat global.

Memetik laporan Channel News Asia, ketika populariti lagu itu berada di puncak, dia berkongsi pentas dengan ramai penyanyi antarabangsa termasuk Madonna. 

Sebut sahaja nama Psy, satu dunia tahu dan terus terbayang tarian ‘menunggang kuda’ yang sinonim dengannya malah tarian dan lagu itu juga pernah dimainkan di hadapan bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Lagu itu mengubah hidup Psy, kemasyhuran datang sekelip mata, namun penyanyi dari bandar Gangnam di Korea Selatan itu menyifatkan tempoh itu juga merupakan tempoh paling sukar dalam hidupnya.

“Semuanya menjadi lebih berat dan lebih sukar kerana setiap kali saya (terpaksa) menghasilkan lagu yang kuat seperti itu", Psy memberitahu AFP dalam satu temu bual minggu lalu di pejabat syarikatnya di Gangnam - daerah dalam Seoul.

“Saya bergantung pada lagu itu... tetapi seperti anda tahu, itu adalah 10 tahun lalu. Sekarang, saya rasa benar-benar bebas,” ujarnya.

Gangnam Style sebenarnya bukan sahaja mengubah kerjaya Psy tetapi industri muzik, menunjukkan bagaimana artis yang tidak menyanyikan lagu dalam bahasa Inggeris boleh mencuri tumpuan peminat antarabangsa melalui internet.

Ia juga mendorong perubahan dalam cara carta muzik disusun, dan menjadikan Billboard mengambil kira tontonan dan strim YouTube.

“Aksi K-pop sangat berpengaruh di YouTube, mereka mendapat banyak tontonan", kata Psy.

"Jika Billboard tidak berubah, ia (tidak akan) semudah itu," tambah lelaki berusia 44 tahun itu.

Peranan hebat Psy bukan sahaja diakui peminat malah diakui beberapa nama terbesar dalam K-pop juga.

Antaranya, Suga, ahli kumpulan BTS yang bercakap mengenai Psy dalam rakaman video bulan lepas.

“Dengan Gangnam Style, dia membuka jalan untuk K-pop di Amerika Syarikat... Kami dapat mengikuti jejaknya dengan mudah (kerana Psy telah membuka jalan buat K-pop di AS),” katanya.