Pelakon Aaron Aziz menyatakan dirinya tidak cemburu dengan kejayaan filem terlaris Malaysia, "The Journey".

Filem itu telah mengatasi filem lakonannya, "KL Gangster" yang sebelum ini menduduki tangga teratas kutipan.

"The Journey" sehingga 26 Februari telah mencatat kutipan RM13.5 juta mengatasi "KL Gangster" yang memperolehi RM11.74 juta.

"Sejujurnya saya tidak pernah rasa cemburu dengan kejayaan filem ini kerana kita menunggu sebuah filem yang dapat mengatasi filem tersebut. Untuk buktikan yang filem tempatan masih ada pasaran dan permintaan daripada penonton."

"Kita boleh mencapai sasaran tersebut tetapi kita perlu melakukan sesuatu kelainan dalam filem kita. Bukan sekadar filem-filem aksi, komedi atau seram sahaja, sekali sekala kita perlu ada sebuah filem yang ada integriti seperti ini. Inilah yang kita mahukan."

Filem sempena sambutan Tahun Baru Cina ini mengisahkan Uncle Chuan yang terpaksa menerima kehadiran bakal menantunya, Benji seorang lelaki Inggeris.

Tidak menggunakan nama-nama popular, Aaron memuji pelakonnya yang berjaya menghidupkan keseluruhan penceritaan.

Aaron kini sibuk dengan penggambaran drama "Kusinero Cinta" bersama Tiz Zaqyah dan Jericho Rosales.