TULAR sebelum ini video dan foto memperlihatkan aksi mesra pelakon Fasha Sandha dengan penyanyi dan aktor Afiq Syazwan ketika menjalani penggambaran sebuah drama pada Julai lalu.

Afiq bagaimanapun, berkata, dia melakukan babak tersebut atas urusan kerja dan hanya mahu penonton dapat membezakan watak mereka ketika musim pertama drama itu dengan yang kedua.

“Apa yang saya boleh cakap, semua itu atas urusan kerja sahaja. Memang saya buat kerja bersama dengan kak Fasha dan memegang watak sebagai suami dan isteri.

“Kalau sebelum ini, watak kami sebagai anak ikan dengan Datin. Untuk musim kali ini dah bergelar suami isteri, jadi kemesraan itu kena lebih sikit untuk bagi penonton dapat merasai perbezaan musim pertama dan kedua.

“Tiada niat untuk mencetuskan kontroversi… ia juga salah satu promosi untuk drama tersebut. Cuma saya tak jangka benda itu jadi perhatian,” katanya kepada Gempak.

Afiq ditemui selepas sidang media #DemiNegaraku dan pelancaran Home of Kids yang diadakan di GSC Cinema, IOI City Mall 2, Putrajaya baru-baru ini.

Menyedari ia mengundang kecaman netizen, Afiq memberitahu, dia sudah mendapatkan keizinan suami kepada aktres itu iaitu aktor Aidil Aziz yang turut terlibat dalam drama tersebut.

“Saya sedar benda itu akan mengundang kecaman dan saya sendiri ada tanya kak Fasha macam mana kalau kena kecam. Tapi tak apa la, niat kita hanya untuk kerja saja.

“Suami kak Fasha juga terlibat sama dalam drama ini dan dia pun memahami dunia lakonan macam mana,” ujarnya lagi. - Gempak