LOS ANGELES: Watak penyanyi pop terkenal dunia, mendiang Michael Jackson dilaporkan akan dilakonkan semula oleh anak saudaranya yang berusia 26 tahun, Jaafar Jackson dalam filem biografi “Michael”.

Berita ini disahkan oleh Studio Lionsgate dalam satu kenyataan yang memaklumkan, naskhah berkenaan akan meneroka kehidupan “seorang lelaki rumit yang bergelar Raja Pop”.

Menurut kenyataan itu, filem tersebut bakal mendedahkan "semua aspek" dalam kehidupan Michael serta persembahannya yang paling penting sekali gus meletakkan beliau menjadi ikon dalam dunia muzik.

Penggambaran akan bermula tahun ini dan filem epik ini akan diarahkan oleh Antoine Fuqua dan diterbitkan oleh Graham King yang bersetuju Jaafar mempunyai keupayaan semula jadi untuk mencontohi dan menghidupkan watak Michael.

"Jelas bahawa dia adalah satu-satunya orang yang layak mengambil peranan ini," kata King yang teruja untuk membawa Jaafar ke skrin besar sebagai ‘jelmaan’ mendiang bapa saudaranya.

Dalam masa sama, Lionsgate tidak menyebut mengenai salah satu kes paling kontroversi dalam episod hidup superstar dunia itu iaitu perbicaraan atas tuduhan penderaan seks kanak-kanak pada 2005 dan dakwaan tambahan terhadap penyanyi itu dipaparkan dalam dokumentari 2019, "Leaving Neverland."

Pada tahun 2005, Michael telah dibebaskan oleh juri California atas tuduhan kes penderaan seks yang melibatkan seorang budak lelaki berusia 13 tahun.

Terdahulu, sebuah dokumentari 2019 memaparkan mengenai Wade Robson dan James Safechuck yang mendakwa mereka berkawan dengan Michael dan masing-masing didera sejak umur 7 dan 10 tahun pada awal 1990-an.

Pada 2020, Mahkamah Rayuan California memutuskan bahawa kedua-dua lelaki itu boleh meneruskan tuntutan mereka melalui tuntutan mahkamah.

Keluarga Michael menafikan tuduhan tersebut dan memenangi rayuan pada tahun itu.

Jaafar merupakan anak kepada abang mendiang Michael iaitu Jermaine Jackson yang juga seorang penyanyi dan penerbit.

"Jaafar mewakili anak saya. Sangat menggembirakan melihat dia meneruskan legasi Jackson sebagai seorang penghibur,” kata ibu Michael, Katherine Jackson seperti dilaporkan.