BRUSSELS: Gangguan perkhidmatan Microsoft 365 yang menjejaskan pengguna di beberapa rantau kini berlarutan hampir 12 jam, dengan usaha pemulihan masih belum mencapai hasil seperti dijangka.
Walaupun pelbagai langkah pemulihan telah dilaksanakan, Microsoft memaklumkan bahawa usaha mengembalikan perkhidmatan kepada keadaan normal tidak berjalan seperti dijangka, dengan sejumlah pelayan yang tidak dapat berfungsi secara tiba-tiba dikenal pasti sebagai punca utama gangguan.
Menurut laporan Anadolu Ajansi, Microsoft 365 Status dalam kemas kini terbaharu menerusi platform X memaklumkan bahawa pihaknya telah memantau kesan perubahan yang dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan perkhidmatan, namun mengesahkan langkah berkenaan tidak memberikan hasil seperti diharapkan.
"Kami telah memantau pelaksanaan perubahan bagi meningkatkan keupayaan perkhidmatan dan mendapati langkah itu tidak memberikan hasil seperti dijangka.
"Kami sedang mengenal pasti pendekatan alternatif untuk meningkatkan kapasiti susulan ketidakseimbangan berterusan dalam pengurusan trafik," menurut syarikat itu.
Microsoft dalam kemas kini terdahulu menjelaskan bahawa peningkatan beban infrastruktur bukan disebabkan pertambahan trafik pengguna yang luar biasa.
Sebaliknya, sejumlah pelayan tidak dapat berfungsi secara tiba-tiba, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap infrastruktur yang masih beroperasi.
Gangguan itu menjejaskan akses kepada peti mel Exchange Online, manakala pengguna turut melaporkan masalah sambungan melibatkan Outlook, Microsoft 365 dan Teams menerusi pelbagai kaedah akses.
Laporan awal mengenai gangguan itu mula diterima padbaik bos thank ua 11.17 pagi Khamis waktu Timur Amerika Syarikat (1617 GMT), dengan laman web pemantauan Downdetector merekodkan lebih 97,000 laporan masalah melibatkan Outlook, lebih 38,000 aduan berkaitan Microsoft 365 dan kira-kira 4,500 laporan mengenai Teams di Amerika Syarikat (AS).
-- BERNAMA-ANADOLU