Tajuk merupakan antara perkara yg paling penting dalam pembikinan sebuah filem.

Ada filem yang bertukar tajuk di saat akhir penerbitannya. Dengan tajuk, ianya mampu memberi gambaran awal kepada penonton mengenai filem tersebut.

Walaupun barisan pelakon juga adalah aspek penting dalam menggerakkan filem, tetapi penonton akan mengingati tajuk terlebih dahulu bagi sesebuah filem.

Tetapi, kebanyakkan tajuk filem di Malaysia sekarang banyak menggunakan tajuk yang sering kita lihat seperti tajuk berita di dada-dada akhbar. Malah ada juga segelintir pembikin filem memilih tajuk-tajuk yang 'tangkap muat' atau yang tidak memerlukan pemikiran yang mendalam dalam pemilihan tajuk filem mereka.

Mengapakah ini terjadi? Adakah kerana para pembikin filem di Malaysia hanya menumpukan sepenuh perhatian hanya kepada proses pembikinan skrip, jalan cerita lantas mengabaikan tajuk filem mereka?

Adakah kerana trend filem di Malaysia? Melihat kepada kebanjiran filem berbentuk seram di pawagam sekarang dan juga filem-filem berkisarkan rempitan/gangsterism, para penerbit filem juga tidak melepaskan peluang berlumba-lumba menghasilkan filem sebegini lantas tajuk-tajuk yang dipilih juga perlu menggunakan perkataan rempit atau gangster. Jika berkisar mengenai hantu, perkataan 'hantu' itu perlu ada didalam tajuk.

Hal ini dapat dilihat dimana sambutan yang hebat bagi filem-filem yang menggunakan tajuk-tajuk yang mudah difahami dan terus menangkap para penonton untuk menonton filem tersebut walhal sudut teknikal filem tersebut tidak memberansangkan. Melihatkan kepada perkara ini, para pembikin filem terus membuat filem berdasarkan selera dan sambutan yang hangat walaupun hanya sekadar hiburan tanpa mesej atau pengajaran kepada para penonton.

Penonton pula berhak memilih untuk menonton atau tidak sesebuah filem. Penonton juga pelbagai jenis dan mempunyai kegemaran masing-masing dan juga sebab mengapa sesebuah filem dipilih untuk ditonton.


Filem Malaysia
Beza tajuk filem Malaysia dan filem Indonesia


Berkadaran dengan tajuk filem, adakah ini menunjukkan tahap pemikiran atau mentaliti para penonton di Malaysia yang terlalu mudah untuk dihiburkan? Mungkinkah juga kerana penonton di Malaysia tidak mahu mengerah sedikit sel-sel di otak untuk berfikir mengapa sesebuah tajuk itu di pilih? Adakah ini menunjukkan bahawa penonton filem di negara kita pemalas?

Kita tidak perlu pergi jauh hingga ke Hollywood untuk membuat perbandingan dalam pemilihan tajuk sesebuah filem, jiran terdekat kita, Indonesia sahaja sudah cukup untuk menggambarkan perbezaan yang ketara. Tulisan ringkas Adlan Harith & Amran Zulkifli menerusi akaun Facebook The Patriots baru baru ini amat menarik untuk diketengahkan.

Menerusi nota mereka, berikut adalah beberapa tajuk filem di Malaysia dan Indonesia yang boleh kita lihat perbandingannya:

Malaysia:

1. KAWAN AKU MATI DALAM RUMAH SEWA – Filem komedi seram mengisahkan seorang kawan yang mati di dalam rumah sewa yang disewa bersama kawan-kawannya.

2. JIN - Filem seram, ngeri tentang pasangan yang diganggu jin.

3. MAMAK CUPCAKE – Filem komedi tentang mamak yang mengusahakan cupcake.

Indonesia:

1. HIJRAH CINTA – Kisah benar tentang perjalanan hidup Ustaz Jefri al-Buchori, & pengalaman hidupnya yang membawanya menjadi seorang pendakwah yang disegani di Indonesia.

2. SOEKARNO (EXTENDED VERSION) – Ini karya pengarah terkenal Hanung Bramantyo tentang kehidupan dan perjuangan Presiden Soekarno dalam merintis kemerdekaan Indonesia. Filem ini diulang tayang dengan versi lebih panjang dan detail. Khusus untuk tayangan hari kemerdekaan.

3. NEGERI TANPA TELINGA – Filem dari pengarah yang disegani di Indonesia, Lola Amaria. Ini sebuah filem komedi satira politik yang secara dalamnya mengkritik penguasa dan institusi di Indonesia yang sering tercemar dengan jenayah kolar biru dan skandal seks.

Kita boleh lihat betapa jauh perbezaannnya hanya dengan pemilihan tajuk filem seperti di atas. Bukan untuk mengangkat para pembikin filem di Indonesia tetapi kita boleh lihat bagaimana tajuk mereka memainkan peranan penting untuk sesebuah filem. Tajuk yang dipilih sangat menarik dan mempunyai makna yang mendalam dan langsung memberi impak kepada penonton untuk terus mengingati filem tersebut beserta jalan ceritanya.

Jika mahu membincangkan mengenai mesej atau pengajaran yang mahu disampaikan para pembikin filem di negara kita, amat sukar untuk dilihat hanya kerana tajuk yang dipilih. Jika tajuk filem yang dipilih telah memasukkan elemen negatif, bagaimana pula keseluruhan jalan ceritanya walaupun pembikin filem mewar-warkan bahawa cerita yang dihasilkan menerapkan nilai-nilai positif.

Bukan untuk menuding jari kepada para pembikin filem, mereka seharusnya memberikan perhatian juga kepada proses pemilihan tajuk sesebuah filem mereka dan tidak hanya memikirkan aspek komersial sahaja. Hal ini kerana, tajuk filem juga merangkumi sesebuah filem dan tidak boleh dipandang enteng. Adakah slogan "Filem Kita Wajah Kita" hanya bertindak sebagai slogan yang tidak meninggalkan apa apa kesan sekalipun pada para pembikin filem? -- Daily Seni