GARA-GARA penyebaran foto penyanyi Ismail Izzani dengan aktres Zarina Anjoulie seakan berpeluk di sebuah kelab malam tular baru-baru ini, penyanyi Luar Biasa itu berkata dia sukar tidur malam.

"Sejujurnya, selepas kontroversi itu empat hari saya susah nak tidur kerana asyik memikirkan apa yang telah berlaku.

"Hati saya jadi tidak tenang dan hanya tidur tiga jam sehari. Kejadian hitam itu seperti baru berlaku semalam," luahnya.

Memetik laporan mStar Online, Ismail mengakui kejadian itu telah mengguris perasaan ramai orang dan atas apa yang sudah terjadi akan dijadikan sebagai pengajaran.

BACA: Sakit, tapi bukan mengandung dengan Ismail Izzani - Zarina Anjoulie

BACA: Foto mesra Ismail Izzani bersama Zarina Ann Joulie tersebar

"Saya telah mengecewakan semua orang dan sedar bukan mudah untuk mereka maafkan saya, cuma selepas ini saya akan buat lebih baik supaya mereka dapat menerima saya semula.

"Ini adalah ujian paling hebat yang pernah saya terima sepanjang 18 tahun hidup dan ia merupakan pengajaran sangat berguna untuk saya.

"Sebelum ini mama (Suliza Salam) pernah menasihati saya supaya berhati-hati dan ingatkan dalam industri ini artis yang akan jatuhkan artis dan sekarang baru saya percaya kata mama itu betul," ujarnya.

Pun begitu, Ismail, 18, yang popular menerusi lagu Sabar ini turut enggan mengulas lanjut mengenai pelbagai dakwaan yang ditujukan kepadanya dan Zarina.

"Saya tak mahu komen mengenai apa yang didakwa oleh mereka kerana lagi kita bercerita akan membuka ruang kepada mereka.

"Bersabarlah tiba masanya saya akan keluarkan kenyataan. Kami dah berbincang bersama keluarga dan pihak pengurusan untuk tidak ulas isu ini secara mendalam buat masa ini," jelasnya lagi.