ENTERTAINMENT
Atas sambutan memberangsangkan, konsert GenKRU bakal ditambah sehari lagi?

Norman, Yusry dan Edry kembali beraksi di pentas mega Axiata Arena, Bukit Jalil dalam konsert selama dua malam, dan pada 10 Mei ini. - Sumber foto OPR NETWORK
KUALA LUMPUR: Selepas berjaya membuat pementasan dalam konsert GenKRU selama dua malam pada hujung minggu lalu, ada desas-desus melaporkan trio adik-beradik KRU bercadang untuk menambah satu lagi tarikh konsert buat peminat-peminat mereka.
Dalam konsert sold-out pada 4 dan 5 Mei lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil, Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim menghiburkan lebih 10,000 peminat selama dua jam setengah dengan kompilasi lagu-lagu hit mereka yang dirakam sekitar tahun 90-an.
"Belum ada apa-apa keputusan, KRU dan pihak penganjur akan mengadakan perbincangan malam ini," kata Norman dalam sistem pesanan ringkas WhatsApp pada Astro AWANI, pada Rabu.
"Banyak perincian dan faktor yang perlu diberi pertimbangan sebelum keputusan dibuat," tambah Norman.Norman, Yusry dan Edry bakal beraksi dalam konsert ketiga pada Sabtu (10 Mei) ini dan trio adik-beradik ini menjanjikan persembahan hebat buat peminat yang sudah lama menunggu mereka untuk beraksi di pentas mega.

Aksi KRU dan Elite pada konsert dua malam yang berlangsung mulai 3 Mei. - Sumber foto OPR Network
Antara lagu-lagu evergreen yang dipersembahkan termasuk, Awas, Fanatik, Jangan Lafazkan, The Way We Jam, Terhangat Di Pasaran, Ooh La La, Voodoo dan One More Time.
Persembahan bertenaga mereka turut menghimpunkan kumpulan Elite yang muncul mendendangkan lagu ciptaan KRU berjudul, Di Pintu Syurga.
Konsert anjuran ICON Entertainment itu merupakan yang pertama selepas tujuh tahun KRU tidak beraksi. Pada 2018, KRU menggegarkan pentas Istana Budaya di ibu negara dalam Konsert Gergasi KRU25.
Berasal dari Gopeng, Perak, trio itu telah melancarkan album berjudul, Kaset yang memuatkan 10 single baharu.
Ditubuhkan pada 1992, KRU sinonim selepas bertanggungjawab merevolusikan industri muzik tempatan dengan lagu-lagu bergenre pop, hip-hop dan R&B.
KRU pernah meraih beberapa angerah termasuk Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Anugerah Bintang Popular 1994.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami