M.Nasir dan lagu-lagu ciptaannya tidak boleh lari dari jatidiri Melayu yang telah lama berakar umbi dalam diri insan seni yang digelar sifu dan juga pemuzik yang bermain untuk rakaman atau beraksi dipentas setiapkali konsert atau persembahan pentas beliau. Karya-karya yang penuh jiwa kemelayuan itu juga menyentuh jiwa peminat-peminat muzik muzik tempatan. Tidak hairan, setiap kali M.Nasir menghasilkan album atau mementaskan konsert, peminat beliau mengharapkan semangat Melayu dapat dirasai ketika mereka berhibur.

Perkara tersebut turut diakui oleh pengarah muzik konsert Sang Pencinta, Aznan Alias yang telah lama bekerjasama dengan M.Nasir baik di dalam album atau di pentas konsert. Bagi Aznan istimewanya bekerjasama dengan M.Nasir ialah kerana semangat Melayu itu kuat dirasakan biarpun lagu yang dihasilkan atau dipersembahkan merupakan lagu moden.

"Saya tidak tahu apa yang dia (M.Nasir) rasa tetapi bagi saya, dialah orang yang paling bertanggungjawab untuk meneraju muzik Melayu. Bila muzik M. Nasir berbunyi, kita tahu itu muzik Melayu.

"Dalam album M.Nasir, pemuzik kebanyakkannya majoritinya Melayu, arrangernya (penyusun muzik) Melayu, semuanya Melayu, bila duduk berbual kita semua bercakap bahasa Melayu, ditambah pula ketika arwah Loloq masih ada dengan bahasanya yang sudah lama kita tak dengar itu umpama menyuntik semangat untuk kawasan Luncai Emas ni produce benda Melayu," katanya yang mula bekerjasama dengan M.Nasir untul album solo pertama Roy.

M.Nasir dan Aznan Alias

Selain itu, gabungan tenaga kerja yang ada dalam album dan konsert M.Nasir menghidupkan semangat Melayu. Aznan juga berpendapat gabungan lagu dan semangat penyanyi dan pemuzik yang berkolaborasi menjadikan muzik M.Nasir umpama satu hidangan yang lengkap.

"Bagi saya lirik yang tersedia yang telah dicipta oleh M.Nasir dalam lagu-lagu dia dan muzik yang ada dalam t, dia menjadi satu hidangan yang complete," katanya lagi.

Bagi M.Nasir sendiri, beliau cuba untuk memaparkan semangat Melayu dalam lagunya biarpun meminati karya-karya avant garde. Katanya setiap karya perlu ada identiti.

"Kita cuba memaparkan semangat kemelayuan tu," katanya yang mengharapkan konsert yang tidak mendapat penaja itu akan mendapat sambutan.

Konsert Sang Pencinta akan berlangsung di Istana Budaya pada 27 hingga 30 Jun depan.