BUKIT MERTAJAM: Pemergian pelakon Allahyarham Badrul Muhayat Ahmad Jailani, 55, hari ini amat mengejutkan rakan baiknya yang juga pelakon Zazly Baginda.

Zazly berkata, mereka datang ke Pulau Pinang bersama beberapa rakan artis yang lain bagi mengikuti program Karnival Usahawan selama tiga hari.

Menurutnya, mereka berdua rapat sejak sama-sama terlibat dalam perniagaan, dan menyifatkan Badrul Muhayat seorang sahabat yang sangat baik dan penyayang.

Zazly berkata, tiada sebarang perubahan ketara ditunjukkan namun sejak sebulan lepas arwah sering bercakap soal mati sewaktu mereka berbual.

"Dia sangat menyenangkan, dia memang suka dengan sayalah... dia rapat dengan saya, memang dia pernah cakap - aku macam nak matilah sebelum ini.

"Masa itu saya ingat biasalah dia... cakap-cakap saja.. kemudian dia jadi sangat mesra... masa nak salam dia selalu cakap - boleh tak aku nak peluk engkau. (Ini kira-kira) sebulan lepas.

"Memang dua tiga bulan ni saya rapat dengan dia. Kita pergi event sama-sama tidur dengan dia, tidur satu homestay dengan dia," katanya.

Pelakon Badrul Muhayat meninggal dunia

Seorang lagi rakan artis, Nadia Kesuma,47, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan Badrul Muhayat adalah petang semalam dan arwah kelihatan sangat aktif serta gembira sewaktu menyertai program keusahawanan tersebut.

Nadia berkata, Badrul Muhayat menghidap penyakit kencing manis namun keadaannya semakin sihat berbanding dahulu.

"Arwah ni seorang yang sangat jovial, sangat energetic. Semalam hari pertama kami berniaga, jadi tak sempat nak tegur sangat. Dia ada pergi booth kawan, saya ralat sebab tak sempat bercakap dengan dia. Dia ada dekat booth Achong Sweet Child, borak-borak.

"Semalam dia okay, nampak sangat sihat," katanya.

Nadia berkata, ketika ini jenazah dibawa ke Hospital Seberang Jaya ( HSJ) untuk bedah siasat.

Katanya, dia dimaklumkan jenazah akan dibawa pulang ke Sentul, Kuala Lumpur untuk urusan pengebumian.

Media hari ini melaporkan, Badrul Muhayat meninggal dunia dalam tidur di sebuah homestay di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam hari ini.

Pemergian pelakon yang juga usahawan itu disedari isterinya, Norhayati Zulkapli sewaktu mengejutkannya dari tidur kira -kira jam 10.50 pagi tadi.

Badrul Muhayat bersama beberapa selebriti lain berada di pulau mutiara itu kerana menyertai Karnival Usahawan UDA di Seberang Perai.

Beliau baru sahaja melangsungkan pernikahannya dengan Norhayati pada April lepas dan belum sempat mengadakan majlis resepsi yang dirancang hujung tahun ini.

Badrul dikurniakan dua cahaya mata berusia 14 dan 16 tahun menerusi perkahwinan kali kedua sebelum ini dengan bekas isterinya, Julia Daud.