Selepas lebih 20 tahun penubuhan kumpulan OAG (Old Automatic Garbage), kumpulan indie yang terkenal dengan lagu ‘60’s TV’ kini mengeluarkan buku biografi ‘The OAG Story: How 60’s TV Changed The 90’s’ yang mengimbau kenangan pahit dan manis mereka sebagai anak seni semenjak menceburinya seawal usia 16 tahun.

Anak-anak muda yang ketika itu berada di bawah naungan Positive Tone membawa nafas baru dengan mempertaruhkan lagu-lagu Inggeris walaupun industri muzik Malaysia dipelopori oleh lagu-lagu Melayu.

Kejayaan mereka telah membuka mata segelintir pihak dan juga menjadi trendsetter untuk anak-anak muda yang punya minat muzik yang sama.

Buku biografi yang ditulis M.Zulkifli Abdul Jalil ini merupakan salah satu elemen di dalam projek #oagreunion. Buku setebal 150 mukasurat itu mengambil masa 5 bulan untuk mengumpulkan info, termasuk menemubual mereka yang terlibat dengan kumpulan OAG ketika itu.

Selain buku, mereka juga dalam proses menerbitkan dokumentari dan juga gig yang bakal melihatkan penyatuan semula ahli OAG yang asal iaitu Radhi, Qi Razali (Chi), Lam dan Ivan.

Bertempat di MAEPS Serdang, bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur buku “The OAG Story: How 60’s TV changed the 90’s” dilancarkan dan juga dihadiri oleh Ahmad Izham Omar dan Paul Moss yang merupakan tulang belakang kumpulan OAG ketika mereka mula menceburkan diri ke dalam industri.

Buku ini juga merupakan hadiah kepada para peminat OAG khususnya yang telah mengikuti perkembangan mereka semenjak tahun 1996.

Selain itu, buku ini juga bertindak sebagai teaser kepada dua lagi projek dibawah #oagreunion iaitu Rockumentary dan Reunion Gig.

Buku yang diterbitkan oleh Merpati Jingga dijual dengan harga RM50.00 bermula di Pesta Buku Antarabangsa dan seterusnya di semua kedai buku di seluruh negara.

Ia akan diedarkan oleh Gerak Budaya dan juga boleh diperolehi secara dalam talian di www.merpatijingga.com.

Peminat-peminat OAG boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek #oagreunion melalui akaun Facebook OAG Reunion dan Instagram @oagreunion.