Selepas EXO dan NCT Dream, penyanyi urban-pop, Bazzi berhasrat untuk menjalinkan kolaborasi dengan BTS pula.

Bazzi menyatakan minatnya untuk berkolaborasi dengan kumpulan K-Pop terkemuka itu dalam satu temu bual eksklusif dalam segmen AWANI Xtra.

Penyanyi yang popular dengan lagu ‘Beautiful’ tersebut mengakui, beliau merupakan peminat septet dari Korea Selatan itu.

“Selama ini, saya dan BTS sentiasa bercakap tentang satu sama lain semasa ditemu buat.

“Kreativiti mereka sungguh luar biasa, daripada persembahan, pakaian hingga ke arahan muzik.

“Ia memberi inspirasi kepada saya dan saya sememangnya peminat mereka,” katanya pada temu bual eksklusif bersama AWANI Xtra sebelum berlangsungnya konsert jelajah Bazzi ‘Live in Asia 2019’ di Kuala Lumpur yang bertempat di The Bee, Publika.

Bazzi yang kini berusia 22 tahun selesa berkongsi beberapa hal mengenai muzik dan karyanya kepada peminat Malaysia.

Bazzi atau nama sebenarnya Andrew Bazzi turut mengiyakan apabila ditanya sama ada peminat mereka, ARMY dan Bazzinators, akan menyaksikan kolaborasi dalam masa terdekat.

“Tentunya, kolaborasi antara saya dan BTS tentunya boleh berlaku,” tambahnya.

BACA: Ed Sheeran bakal berkolaborasi bersama BTS?

BACA: BTS berkolaborasi dengan Lady Gaga, Dolly Parton?

BACA: Lil Nas X berkolaborasi bersama Rap Monster BTS dalam lagu "Seoul Town Road"

Sebelum ini, Bazzi pernah bergabung dengan beberapa artis K-Pop terutamanya dari syarikat hiburan SM Entertainment seperti EXO, NCT Dream, Lay, Taeyeon dan ramai lagi.


Beliau pernah menjadi penulis bersama lagu ‘We Go Up’ untuk NCT Dream, ‘The Eve’, ‘Ooh La La La’ dan ‘Oasis’ untuk EXO dan juga ‘Give Me A Chance’ untuk Lay.

Beliau pernah ditanya pengalamannya membuat kolaborasi dengan EXO dan Lay di laman Twitter pada Mei lalu.

“Bekerjasama dengan EXO dan Lay sangat menakjubkan.

“Mereka sungguh berbakat dan dedikasi mereka dalam mencipta muzik memang terserlah.

“Kami mempunyai sesuatu (kolaborasi) yang istimewa buat anda,” balas Bazzi menerusi #askbazzi di laman Twitter peribadinya.


Bagaimanapun, apabila ditanya apakah kejutan istimewa tersebut, beliau enggan mendedahkannya atau memberi sebarang petunjuk.

Adakah peminat-peminat teruja dengan kolaborasi antara Bazzi dengan BTS serta ‘kejutan istimewa’ itu?

Kongsikan pendapat dan keterujaan anda di ruang komen di bawah!