Ben Affleck mengulangi kemenangan sama pilihan pengkritik pada majlis Anugerah Golden Globe 2013.

Dinamakan sebagai Pengarah Terbaik, "Argo" turut diiktiraf sebagai Filem Terbaik.

Kemenangan berganda itu dilihat sebagai pengubat kekecewaan Affleck yang tidak tercalon untuk kategori Pengarah Terbaik Oscar.

Affleck mengalahkan Steven Spielberg untuk filem "Lincoln", Ang Lee, "Life Of Pi", Kathryn Bigelow untuk "Zero Dark Thirty" dan Quentin Tarantino, "Django Unchained".

"Argo" mengisahkan misi ejek perisikan Amerika Syarikat untuk membebaskan enam diplomat negara itu yang berlindung di kediaman duta Kanada di Tehran semasa krisis pada tahun 1979.

"Les Miserables" dinamakan sebagai Filem Muzikal/Komedi Terbaik selain pelakonnya, Hugh Jackman diiktiraf sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Muzikal/Komedi.

Manakala Anne Hathaway membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem sama.

Pelakon Lelaki Terbaik menjadi milik Daniel Day Lewis menerusi filem "Lincoln" manakala Jessica Chastain meraih trofi sama untuk kategori wanita.

Kedua-dua pelakon itu juga menerima pencalonan sama untuk majlis Oscar.

Sementara itu, Jennifer Lawrence dinamakan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi untuk filem "Silver Linings Playbook".

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik diberikan kepada Christoph Waltz menerusi filem "Django Unchained".

"Amour" yang menerima pencalonan filem terbaik Oscar membawa pulang trofi Filem Bahasa Asing Terbaik.

Trofi Skor Asal Terbaik diberikan kepada "Life Of Pi", manakala "Skyfall" dinamakan sebagai Lagu Asal Terbaik.

Majlis Anugerah Golden Globe 2013 dihoskan Amy Poehler dan Tina Fey.