Keserasian antara pelakon Aaron Aziz dan Siti Saleha sememangnya tidak dapat dinafikan lagi sehingga timbul persoalan adakah aktres itu merupakan pasangan paling serasi aktor tersebut.

Bukan sekali dua digandingkan bersama, mereka berdua juga pernah mencetuskan fenomena menerusi drama Nora Elena yang pernah bersiaran suatu ketika dahulu.

Terbaru, Aaron Aziz dan Siti Saleha kembali ‘bercinta’ dan menjadi pasangan suami isteri untuk telefilem berjudul ‘Cinta Paling Agung’ yang bakal ditayangkan di Astro First Eksklusif sempena menyambut Aidilfitri Julai depan.

Selain Aaron dan Saleha, pelakon dari seberang iaitu Zaskya Ada Meca dan pelakon cilik Mia Sara turut membintangi telefilem ini.

Telefilem hasil karya pengarah dan pemenang untuk anugerah filem Ayat-Ayat Cinta, Hanung Bramantyo ini mampu menyentuh hati dan membuai perasaan penonton seolah-olah berada dalam jalan cerita telefilem tersebut.

Cinta Paling Agung mengisahkan tentang Khairi (Aaron Aziz) dan Amyza (Siti Saleha) yang telah berkahwin hampir sepuluh tahun dan dikurniakan seorang anak perempuan, Hanna.

Namun perkahwinan mereka tidak bahagia dan semakin hari semakin bermasalah. Khairi kemudiannya jatuh cinta dengan seorang wanita bernama Dewi (Zaskya).

Kerana Dewi, Khairi sanggup membuat keputusan untuk menceraikan isterinya. Amyza yang terkejut dengan keputusan suaminya itu kemudian membuat keputusan untuk bersetuju.

Tetapi dengan syarat setiap pagi Khairi perlu mendukungnya setiap hari selama 30 hari dan Khairi dengan berat hati bersetuju dengan permintaan isterinya.

Sementara itu, hubungan Dewi dan Khairi tidak berjalan dengan lancar seperti yang disangka kerana ibu bapa Dewi kurang bersetuju dengan pilihan anak perempuannya itu.

Keluarga Dewi kemudiannya menasihati Dewi bahawa perbuatan bercinta dengan lelaki yang masih berstatus suami orang adalah perbuatan yang salah.

Dewi tersepit diantara rasa cinta dan bersalah terhadap Khairi serta ibu bapanya.

Adakah Dewi akan meneruskan hubungannya dengan Khairi sehingga ke jinjang pelamin?

Bagaimana pula dengan Amyza, adakah Khairi akan menceraikannya ataupun tidak?

Jangan lupa untuk menonton telefilem Cinta Paling Agung di Astro First Eksklusif bermula 17 Julai 2015 di saluran 480.