Selamat tinggal Finn Hudson, semoga tenang di sana.

Sedih, pilu dan menyayat hati, itu kenyataan yang tepat untuk menggambarkan perasaan beribu-ribu peminat kelab seni Glee, ketika menonton episod yang didedikasi khas buat pelakon utama drama bersiri itu, Cory Monteith.

Episod yang bertajuk ‘The Quarterback’ ditulis esklusif sebagai penghormatan terakhir bagi mengenang mendiang Cory yang memegang watak Finn Hudson.

Hashtag #RememberingCory (mengingati Cory) menjadi trending ketika episod itu ke udara menemui penonton semalam.

Rata-rata peminat menulis di Twitter masing-masing bahawa mereka turut mengalirkan airmata ketika menyaksikan episod terakhir buat Finn itu.

Seperti yang dijanjikan, penulis dan penerbit eksekutif drama bersiri tersebut, Ryan Murphy tidak mahu menyebut bagaimana watak Finn mati ketika mengeluarkan watak itu dari cerita Glee.

“Bagaimana dia mati adalah tidak penting, apa yang penting bagaimana dia sewaktu masih hidup”

Itu antara bait skrip di dalam episod semalam.

Ia telah dimulakan dengan nyanyian dari barisan pelakon drama bersiri popular itu, seperti I'll Stand By You (Mercedes), Fire & Rain (Sam and Artie), No Surrender (Puck), dan If I Die Young (Santana).

Teman wanita Finn, Rachel Berry atau nama sebenarnya Lea Michele muncul diakhir 15 minit drama tersebut dan menyanyikan semula lagu nyayian Bob Dylan, Make You Feel My Love.

Kemunculan Lea dan lagu yang dibawanya adalah antara babak yang paling menyentuh hati dan paling banyak disebut di dalam ruang media sosial Twitter semalam.

Sebelum kematian Cory, Lea yang juga merupakan teman wanita Cory di luar set telah merancang untuk berkahwin.

Aktor berusia 31 tahun itu ditemui mati di bilik hotelnya di Vancouver, Kanada pada 13 Julai akibat pengambilan dadah dan alkohol berlebihan.

Cory atau Finn akan terus diingati sebagai budak lelaki yang lurus namun bersuara lunak.