“HATI siapa yang tidak terguris kalau balik-balik pandangan sama yang dilemparkan orang luar serta pemerhati dunia niaga. Rasa kadang kadang macam ‘loser’, kerana mereka fikir saya kecapi semua ini dengan cara mudah selain tanggapan klise.”

Demikian luahan anak kepada ahli perniagaan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K), Asyraf Khalid yang terpaksa 'menutup telinga' dengan desas-desus negatif ketika berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.

Menurut pengusaha jamu Mutyara Beauty itu, dia sentiasa dilontarkan dengan tanggapan negatif sesetengah pihak kononnya hanya bernasib baik kerana pengaruh bapanya.

Sejak dua tahun lalu, Asyraf mula menumpukan perhatian dalam mengukuhkan perniagaan jamu itu bersama isteri, Tya Arifin, dengan hasil kerja keras dan titik peluh mereka.

“Cuma tak adil jika mereka terus berandaian begitu dan begini. Tapi kalau terus larut dengan rasa negatif itu pun saya tak akan ke mana. Saya lawan segala rasa,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, perniagaan maju bapa kepada dua cahaya mata itu turut dikatakan menumpang populariti penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang merupakan ibu tirinya.

Jelas Asyraf, minatnya terhadap dunia perniagaan sudah bermula sejak di bangku sekolah lagi.

Namun, pada usia awal 20 an, dia mula memasang impian untuk bergelar sebagai usahawan berjaya tanpa bergantung kepada pengaruh bapanya.

“Saya bertatih sendiri dari bawah. Ikutkan sejak usia tujuh tahun lagi saya sudah jual pen di sekolah dan macam macam lagilah lubuk perniagaan yang dicuba. Saya memang serius mahu bergelar ahli perniagaan sejak usia 22 tahun hinggalah sekarang,” katanya.

“Jujur saya tak boleh menafikan rasa bengang, jelak dan amarah itu pernah bersarang sampai naik geram. Biasalah yang orang nampak hanya keindahan, di sebalik semua itu tak ada siapa yang tahu,” tambahnya.

Di sebalik kejayaannya meneroka dunia perniagaan, Asyraf mengakui, isterinya juga menjadi tulang belakang yang menyokongnya sejak mula mendirikan rumah tangga pada 1 November 2015.

“Tya banyak melihat dan melalui serba-serbi kesukaran dan kepayahan hidup. Bisnes yang gagal dilakukan juga berakhir dengan pelbagai ujian termasuk saya berdepan dengan hutang yang banyak.

“Pernah satu tahap saya dan isteri sampai kena catu makanan kerana kekangan duit. Kami hanya ada RM10 untuk memilih sama ada makan nasi goreng di kantin atau di restoran mamak,” ujarnya.

Sejak dua tahun lalu juga, mereka cukup optimis membangunkan perniagaan jamu jenama Mutyara. Jamu itu, katanya, lebih membanggakan merupakan legasi turun temurun diamalkan keluarga isterinya yang dikomersial.

Mengulas mengenai situasi pandemik melanda negara ketika ini yang sedikit sebanyak menjejaskan ahli perniagaan, Asyraf berkata, itu tidak menjadi penghalang untuknya membantu masyarakat menjana pendapatan sampingan.

.

“Saya dan isteri bina jenama jamu ini kerana kita mahu menambah nilai sekali gus membantu lebih ramai orang di luar sana sama sama menikmati khasiat jamu itu. Tak hanya di situ kita juga buka peluang untuk lebih ramai lagi menjana pendapatan dengan sama sama berniaga jamu berkenaan.

“Niat saya adalah untuk membantu lebih ramai orang beroleh pendapatan sampingan. Lebih-lebih dalam keadaan semasa negara kita berdepan ujian penularan wabak COVID-19 hingga membuatkan ekonomi jadi tak menentu,” katanya.

Bagi Asyraf, semua perkara berbalik kepada soal rezeki, tuah, usaha dan niat. Jelasnya, bergelar artis atau dilahirkan dalam keluarga berpengaruh belum tentu jadi jaminannya.

Pasangan itu bakal meraikan ulang tahun kedua perniagaan Jamu Mutyara pada 20 April ini.

Selain Mutyara, Asyraf juga antara pemilik perniagaan jenama Kilafit diusahakan Kilafairy serta Jiwaku Kids menampilkan anak sulungnya, Arif Jiwa.

“Kita ada buat Business Oppurtunity Session secara online untuk membantu lebih ramai orang, walaupun dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. Ayuh bersama kami demi menjana pendapatan ketika ramai yang terkesan dengan situasi semasa,” katanya.

Asyraf berkata, pihaknya mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menceburi bidang perniagaan dan mengingatkan mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web www.mutyara.com atau Instagram @mutyarabeauty.