Kumpulan muzik pengiring tentera marin Amerika Syarikat pantas menjarakkan dari kontroversi yang menyelubungi persembahan penyanyi Beyonce sewaktu majlis pelantikan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pada Selasa.

Kontroversi timbul apabila ratu muzik R&B itu didakwa tidak menyanyi secara langsung atau pendek kata didakwa 'miming'.

Menurut laporan New York Times, yang memetik kenyataan seorang jurucakap kumpulan itu, mereka dimaklumkan versi muzik yang telah dirakam terlebih awal akan digunakan pada persembahan itu.

Kata Sarjan Kristin Dubois, “Ia bukan bermakna Beyonce tidak boleh menyany,i malah kita semua pun maklum bahawa kumpulan kami mampu membuat persembahan, namun kita tak tahu kenapa pemuzik kami diarahkan untuk membuat rakaman awal.”

Memandangkan kumpulan muzik itu tidak berpeluang untuk berlatih bersama Beyonce terlebih dahulu, beraksi secara langsung bukanlah keputusan yang tepat oleh kerana itu adalah majlis yang berprofil tinggi,” katanya.

Bagaimanapun merujuk kepada prestasi vokal Beyonce, “Tiada siapa dalam kumpulan muzik marin boleh menilai sama ada ia adalah nyanyian secara rakaman atau secara langsung,” tambahnya.

Sehingga kini jurucakap Beyonce masih belum memberikan sebarang kenyataan terhadap dakwaan itu, sekaligus menyebabkan tanda tanya sama ada penyanyi itu menyanyi secara langsung ataupun tidak semakin menjadi buah mulut.

Turut tidak dapat dijelaskan adalah gambar hitam putih yang dimuat turun menerusi aplikasi Instagram kononnya diambil pada hari Ahad, dimana Beyonce dilihat berada di dalam studio rakaman bersama tiga anggota tentera di belakangnya.

Sementara itu, ada peminat Beyonce yang tetap mempertahankan penyanyi itu.

“Siapa peduli samada nyanyian Beyonce dirakam satu jam sebelum persembahan atau tidak, cuba anda menyanyi dalam kesejukan waktu itu,” tweet itu merujuk kepada cuaca sejuk hampir dibawah tahap beku yang dicatat di Washington pada Isnin itu.

“Beyonce pastinya berlagak seperti seorang diva, tetapi apalah sangat jika dibandingkan dengan tindakan Lance Armstrong yang menipu selama 7 tahun berturut-turut,” antara kenyataan peminat Beyonce merujuk kepada bintang lumba basikal yang mengakui menipu.

“Beyonce adalah terbaik dalam ‘lip-sync’ yang pernah saya lihat kerana saya terpedaya dengan persembahannya,” menurut salah seorang pengguna Twitter.

Turut membuat persembahan bintang pop Kelly Clarkson dan penyanyi veteran James Taylor.