HIDUP bagaikan roda, tidak selamanya berada di atas.

Inilah yang terjadi kepada bintang Spice Girls, Mel B apabila dia mendedahkan yang dirinya hanya memiliki wang sebanyak £700 (kira-kira RM4,240) apabila berpisah dengan bekas suami, Stephen Belafonte.

Dia yang berhijrah ke Amerika Syarikat selama lebih 15 tahun berkongsi bahawa kehidupan menjadi sukar apabila perlu pulang semula ke United Kingdom pada 2019.

Daripada kehidupan yang serba mewah, dia terpaksa tinggal dengan ibunya dan berkongsi bilik yang sama dengan anak-anak.

Selain itu, dia juga mula menyesuaikan diri untuk membeli belah di pasar raya jimat seperti Aldi dan Lidl.

Mel B atau nama sebenarnya Melanie Brown memfailkan penceraian daripada penerbit filem Hollywood, Stephen Belafonte pada Mac 2017, berikutan dakwaan penderaan yang dilakukan bekas suaminya itu.

Walaupun begitu, Stephen berulang kali menafikan pertuduhan itu.

“Orang ramai akan beranggapan saya kaya hanya kerana saya sebahagian daripada Spice Girl, tetapi kehidupan saya berubah daripada membuat persembahan kepada ribuan orang di Wembley pada Jelajah Reunion Spice Girls pada 2019 kepada berhimpit di rumah ibu dengan anak-anak tidur bersama,” ujarnya saat ditemu bual akhbar The Sun.

Selain itu, Melanie turut mendakwa bekas suaminya itu melakukan penyelewengan kewangan terhadapnya.

“Saya sentiasa menjaga wang saya sendiri, tetapi lama-kelamaan saya tidak bimbang tentang wang kerana pada pandangan saya dia menjaganya.

"Tetapi selepas itu saya sedar bahawa saya perlu bermula dari awal,” tambahnya

Kini, selain membina kembali kehidupannya. Mel B berkempen untuk kesedaran isu penderaan rumah tangga.

Dia yang menerima darjah kebesaran Member of British Empire (MBE) pada tahun 2022 mendedikasikan penghormatan itu untuk membanteras isu berkenaan.

Imbas kembali, wanita berusia 48 tahun ini mengecap kejayaan besar menerusi kumpulan Spice Girl. Dia memiliki tiga anak perempuan dari tiga hubungan dengan lelaki yang berbeza.

Kini, dia kerap memenuhi undangan bertindak sebagai juri untuk pelbagai rancangan seperti X-Factor, The Masked Singer Australia dan America’s Got Talent. -Media Hiburan