Menjelang malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke 25 yang bakal berlangsung pada Sabtu ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, kami mendapatkan reaksi para selebriti mengenai filem manakah yang mereka pilih untuk menggondol trofi Filem Terbaik di festival tersebut.

Rata-rata selebriti memilih pemenang anugerah utama pada malam esok akan berpihak kepada filem Bunohan. Namun, saingan daripada filem Songlap tidak harus diketepikan. Filem arahan Dain Said itu menerima 13 pencalonan dan filem Songlap, arahan Effende Mazlan dan Fariza Azlina Ishak menerima pencalonan terbanyak dengan 15 pencalonan keseluruhannya.

Di majlis pembukaan FFM25 yang berlangsung Rabu lalu, filem Bunohan telah pun memenangi tiga anugerah di majlis itu. Antara anugerah yang dimenangi termasuk Penataan Bunyi Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Penataan Seni Terbaik. Filem Songlap belum memenangi sebarang anugerah.

Pelakon filem Sepet, Sharifah Amani memilih filem Bunohan sebagai pilihan utamanya. Menurutnya, saingan sengit bakal diberikan oleh filem Songlap, lakonan Shaheizy Sam dan Syafie Naswip.

Sementara itu, salah seorang calon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Untuk Tiga Hari, Vanidah Imran sukar untuk membuat keputusan antara filem Songlap atau pun Bunohan. Menurutnya, kedua-dua filem memiliki kekuatan tersendiri.

Pemenang trofi Pelakon Lelaki Terbaik tahun lalu, Bront Palarae melontarkan pandangan yang berbeza. Pelakon filem Belukar itu menyatakan sekiranya pemenang trofi itu selain daripada filem Bunohan atau pun Songlap, sesuatu yang pelik telah berlaku dalam industri.

Pelakon dan pengarah muda tanahair, Megat Sharizal turut memilih Bunohan. Buat rakannya, Rewan Ishak yang mana filem pendek arahannya Pasport Ekspres pernah dipuji oleh Dain Said merasakan filem seperti Bunohan jarang muncul di panggung. Jika tidak diiktiraf, industri perlu menunggu bertahun-tahun lagi tetapi kalau filem Songlap diumumkan sebagai pemenang pun dia tidak akan mengamuk (marah) sangat.

Berbeza personaliti televisyen terkenal, Daphne Iking yang merasakan filem Songlap mempunyai kelebihan tersendiri. Pelakon Rashidi Ishak memilih filem Songlap kerana beliau merupakan salah seorang pelakon dalam filem tersebut. Namun jika dinilai dari segi festival, Rashidi merasakan kelebihan berpihak kepada filem Bunohan.

Pengarah filem Susuk, Amir Muhamad pula berkata, dia hanya mengikuti perkembangan untuk kategori Poster Terbaik sahaja. Bukan satu yang asing kerana pada tahun-tahun sebelumnya Amir lebih gemar untuk meramal kategori tersebut berbanding kategori Filem Terbaik.

Farish Aziz (peserta program Fear Factor Selebriti Malaysia), penggiat muzik, Jennifer Thompson, pelakon, Beto Kusyairy, editor Harian Metro, Abie Abdullah, pelakon, Johan As'ari, penggerak seni di Kakiseni, Low Ngai Yuen dan pemuzik AG Coco sebulat suara meletakkan Bunohan sebagai pemenang.

Pelakon, penyanyi dan penyampai radio, Adibah Noor, bekas wartawan dan pengguna sosial media, Joe Lee dan pelakon filem Bintang Malam, Erma Fatima sukar membuat pilihan antara Bunohan atau Songlap

Hanya penulis, Ili_fm menambah filem arahan Edry Abdul Halim iaitu 29 Februari sebagai pilihannya.

Keyakinan kuat dipertaruhkan kepada filem Bunohan apabila Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof yakin filem Bunohan akan memenangi kategori utama itu.

Menutup senarai pilihan selebriti ialah pelakon drama Adam & Hawa, Nadiya Nisaa’. Pandangannya keras. Beliau merasakan sekiranya Bunohan tidak diangkat sebagai Filem Terbaik, industri perfileman tempatan perlu menunggu lagi 10 tahun lagi untuk menghasilkan filem sehebat Bunohan.

Siapa pun pilihan mereka, keputusan muktamad terletak di tangan panel juri profesional yang telah bertungkus-lumus menilai hampir 70 buah filem tempatan selama lebih satu bulan lalu.

Filem manakah yang bakal diangkat sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 25 bakal kita ketahui pada hari Sabtu ini. Siaran langsung majlis tersebut akan disiarkan di saluran Astro RIA, Mustika HD dan TV2 mulai pukul 9 malam.