Filem Bunohan dan Songlap sekali lagi bersaing sengit bagi merebut trofi Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 25 yang bakal berlangsung pada 2 Mac depan. Turut disenaraikan dalam kategori Filem Terbaik ialah filem SAM, Ombak Rindu dan 29 Februari.

Filem Songlap terbitan Grand Brilliance dan Red Films menerima 15 pencalonan, terbanyak dalam sejarah penganjuran festival, manakala Bunohan, filem terbitan Apparat Film menerima 13 pencalonan. Walaupun menerima 10 pencalonan keseluruhan, filem Hoore! Hoore! arahan Saw Teong Hin tidak disenaraikan dalam kategori Filem Terbaik.

Daripada 70 filem yang bertanding, hanya 28 filem berjaya dipilih untuk senarai calon akhir festival filem tersebut.

Kejutan utama dalam senarai pencalonan berlaku apabila tiga pelakon utama filem Bunohan dicalonkan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik yang diperolehi menerusi pencalonan untuk Faizal Hussein, Zahiril Adzim dan Pekin Ibrahim.

Monopoli ini berlaku pertama kali dalam sejarah perfileman tempatan. Dua lagi pencalonan diperolehi Shaheizy Sam menerusi dua filem berbeza, Songlap dan S.A.M.

Dua pelakon pembantu dari filem Bunohan iaitu Husyairi Hussin dan Amerul Affendi dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik. Turut dicalonkan ialah dua pelakon dari filem Songlap iaitu Omar Abdullah dan Syafie Naswip.

Perubahan kriteria dan syarat penjurian pada festival tahun ini membenarkan penerbit filem mencalonkan lebih daripada seorang pelakon dalam satu kategori.

Filem terbitan KRU Studios, 29 Februari memperolehi 12 pencalonan. Manakala filem kegemaran ramai Ombak Rindu hanya memperolehi 6 pencalonan.

Malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke 25 yang bertemakan ‘Merayakan Perak, Mengilhamkan Emas’ bakal berlangsung pada 2 Mac di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).