Cadangan Hari Muzik Negara diteliti bagi rai pemuzik tempatan - Fahmi

Fahmi (tengah) bergambar selepas Majlis Perasmian Penutup RIUH x ASEAN Marketplace 2025 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi berhasrat mengemukakan cadangan kepada Jemaah Menteri untuk mewujudkan Hari Muzik Negara sebagai sambutan peringkat nasional.
Ringkasan AI
- Kementerian Komunikasi cadang Hari Muzik Negara untuk raikan pemuzik tempatan, susulan kajian industri muzik bersama MyCreative.
- Kajian mendapati keperluan akta khas muzik, bagi lindungi industri dan tetapkan hala tuju pembangunan seni muzik negara.
- RIUH x ASEAN 2025 tonjolkan bakat kreatif serantau, bantu jenama tempatan tembus pasaran antarabangsa sempena Sidang Kemuncak ASEAN.
"Saya melihat keperluan untuk kita meraikan keupayaan para pemuzik tempatan melalui satu sambutan khas seperti Hari Muzik Negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan RIUH x ASEAN 2025 di sini malam tadi.
Beliau berkata kajian yang dijalankan Kementerian Komunikasi bersama MyCreative Ventures mendapati beberapa isu perlu diteliti melibatkan industri muzik khususnya mewujudkan satu akta khusus bagi melindungi industri berkenaan.
"Kita dapati dalam banyak bidang seni, muzik khususnya masih belum mempunyai akta tersendiri. Sejak tahun lepas, saya telah meminta MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi meneliti kewajaran mewujudkan satu akta khas untuk industri muzik.
"Kajian yang telah disiapkan akan menunjukkan hala tuju bagi akta berkenaan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata RIUH x ASEAN 2025 yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menampilkan pelbagai artis tempatan dan serantau serta peragaan bakat dalam bidang fesyen dan kulinari oleh usahawan tempatan.
"RIUH menjadi antara platform penting dalam memperkukuh industri kreatif atau apa yang kita sebut sebagai ekonomi jingga. Produk yang dihasilkan bukan sahaja memperagakan keunikan budaya tempatan, tetapi juga berpotensi untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa.
"Melalui RIUH x ASEAN, hasrat kami adalah untuk membawa jenama-jenama tempatan ini ke pasaran serantau selaras dengan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47," katanya.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohammad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd Datuk Ir Ts Izwan Ibrahim dan Pengarah Urusan QSR Brands Nehchal Khanna selaku penaja.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


