Skip to main content

Malaysia

PM Anwar mahu pelatih PLKN bebas bersuara, persoal dasar kerajaan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal bergambar bersama para pelatih pada program Temu Anwar bersama Wira Muda Negara @ PLKN 3.0 di Cawangan Latihan Khidmat Negara 515 hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal bergambar bersama para pelatih pada program Temu Anwar bersama Wira Muda Negara @ PLKN 3.0 di Cawangan Latihan Khidmat Negara 515 hari ini. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan peserta PLKN perlu diberi kebebasan menyuarakan pandangan dan bertanya soalan kepada kepimpinan negara.
  • Beliau menekankan kepentingan dialog terbuka untuk membina keyakinan belia serta mendidik mereka memahami isu dan membuat penilaian berasaskan ilmu.
  • Program Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara PLKN 3.0 melibatkan 1,899 peserta diadakan secara bersemuka dan siaran langsung di lapan kem PLKN.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) diberi kebebasan menyuarakan pandangan, mengemukakan soalan dan mempersoalkan dasar kerajaan menerusi ruang dialog terbuka bersama kepimpinan negara.

Beliau berkata, golongan muda perlu diberi peluang menyampaikan pandangan masing-masing, termasuk perkara yang mungkin tidak menyenangkan atau tidak dipersetujui kerajaan.

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi membina keyakinan golongan belia untuk bersuara, selain mendidik mereka memahami isu serta membuat penilaian berdasarkan ilmu dan kefahaman.

Advertisement

“Ini ruang bagi anak muda suarakan. Kita harus didik mereka dengan kasih sayang, kita kena jelaskan kepada mereka,” katanya ketika program Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara PLKN 3.0 di Kem 515, Kuala Lumpur, hari ini.

Anwar berkata, peserta PLKN bukan sahaja perlu mengikuti latihan dan aktiviti yang disediakan, malah perlu diberikan ruang untuk bertanya serta menyampaikan pandangan mereka kepada pihak kepimpinan.

Advertisement

“Kita bagi ruang. Ada latihan dan sebagainya. Tapi mesti ada juga ruang di mana mereka boleh luahkan pandangan dia. Kita dengar dan jawabnya baik,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa tidak semua pandangan yang dikemukakan golongan muda semestinya tepat, sebagaimana pandangan golongan lebih berusia juga tidak semestinya benar.

Justeru, katanya, perbezaan pandangan perlu ditangani menerusi dialog, penjelasan dan peringatan secara berhemah bagi membantu golongan muda memahami sesuatu isu dengan lebih baik.

Dalam sesi berkenaan, Anwar turut berkongsi pengalamannya ketika menjadi mahasiswa yang pernah menyertai demonstrasi bagi menyuarakan isu kemiskinan dan tuntutan supaya kerajaan memberi perhatian kepada kebajikan rakyat.

Beliau berkata, ruang perbincangan dan dialog perlu terus dibuka kepada golongan muda agar mereka dapat menyampaikan pandangan serta terlibat dalam perbincangan mengenai masa depan negara.

Program Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara PLKN 3.0 itu berlangsung di Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN), Kem 515, Kuala Lumpur, dengan penyertaan 236 pelatih wanita secara bersemuka.

Program sama turut disiarkan secara langsung ke tujuh kem PLKN lain, melibatkan 1,663 pelatih, menjadikan keseluruhan penyertaan seramai 1,899 orang.

Must Watch Video

Advertisement