ENTERTAINMENT
Cassie dakwa dirogol Sean Diddy Combs, ugut sebar video seks

Sean "Diddy" Combs (kiri) dan Cassie Ventura menghadiri majlis gala anjuran Costume Institute di Muzium Seni Metropolitan sempena pembukaan pameran Heavenly Bodies: Fashion and the Catholic Imagination pada 7 Mei 2018 di New York. - Gambar fail AP
NEW YORK: Penyanyi R&B, Cassie atau nama sebenarnya Casandra Ventura, memberikan keterangan mengejutkan di Mahkamah Persekutuan Manhattan dengan mendakwa dia telah dirogol oleh Sean "Diddy" Combs selepas mengakhiri hubungan 10 tahun bersama mogul muzik itu.
Dalam perbicaraan jenayah terhadap Combs yang sedang menghadapi tuduhan pemerdagangan seks, Cassie mendakwa, Combs memaksanya masuk ke apartmennya di Los Angeles dan merogolnya di ruang tamu setelah beliau menyatakan hasrat untuk berpisah.
Cassie turut mendakwa, Combs bahkan memaksanya melakukan ratusan hubungan seksual dengan pekerja seks lelaki yang kemudian dirakam dan dikawal oleh pemuzik itu.
Dalam masa sama, Cassie mendakwa, dia tidak mampu menolak semua tindakan itu kerana bimbang Combs akan menyebarkan video-video memalukan yang akan merosakkan kerjaya dan maruahnya.“Saya takut untuk kerjaya saya. Saya takut untuk keluarga saya. Ia memalukan dan menjijikkan. Tiada siapa
patut diperlakukan begini,” kata Cassie di mahkamah.
Pihak pendakwa menunjukkan lima imej daripada video yang dirakam Combs.
Pada 2023, Cassie pernah menyaman Combs pada 2023 atas dakwaan penderaan fizikal dan seksual, yang kemudian diselesaikan luar mahkamah dengan pampasan AS$20 juta.
Namun, lebih banyak tuntutan undang-undang menyusul daripada wanita lain selepas itu.
Combs, 55, berdepan tuduhan berat termasuk pengubahan wang haram, pemerdagangan seks secara paksa dan kekerasan dan telah ditahan sejak September lalu.
Jika disabitkan, dia boleh dipenjara sekurang-kurangnya 15 tahun.
Peguam Combs menafikan semua dakwaan, walaupun mengakui bahawa klien mereka boleh bertindak kasar.
Mereka menegaskan, segala hubungan dilakukan secara suka sama suka dan tiada unsur jenayah terancang.
Cassie turut mendedahkan pelbagai insiden keganasan sepanjang hubungan mereka yang bermula sejak beliau berusia 19 tahun dan Combs ketika itu berusia 37 tahun.
Kata Cassie, Combs pernah menendang dan memukulnya dua hari sebelum mereka muncul bersama di karpet merah tayangan perdana filem The Perfect Match pada 2016.
Dalam satu insiden lain pada 2013, Cassie mengalami luka serius di atas mata selepas dihentak ke bingkai katil.
Cassie turut mendakwa menyaksikan Combs menarik rakannya dari balkoni dan memukul rakannya yang lain dengan tukul besi.
Sebelum berpisah dengan pasangannya itu pada 2018, Cassie mendakwa mengalami gangguan tekanan trauma (PTSD) dan mengalami masalah tidur serta halusinasi.
Pada 2023, Cassie berkata, dia mengalami "keruntuhan emosi" ketika menjalani penggambaran video muzik, hingga cuba melangkah ke jalan raya dalam keadaan terdesak, namun dihalang oleh suaminya.
Dia kemudiannya menjalani pemulihan dan terapi trauma.
Ketika ditanya mengapa dia memilih untuk tampil memberikan keterangan dalam perbicaraan ini, Cassie menjawab: “Saya tak mampu menyimpan semua ini lagi. Saya tak sanggup pikul rasa malu dan bersalah ini.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami