SEJAK kemunculan pertama kali bermain dram untuk kumpulan rock legenda, Search, di NUSA Fest beberapa minggu lalu, gadis cantik bernama Naimi terus mencuri tumpuan.

Kehebatannya bermain dram menjadi buah mulut apa lagi Naimi atau nama sebenarnya, Naimi Daini baru berusia 17 tahun.

Naimi yang akan kekal bermain dram untuk Search menceritakan pada awalnya tidak ada guru dan rakan di sekolah yang tahu kebolehannya bermain alat muzik tersebut.

Namun semuanya terbongkar selepas banyak video dan foto dirinya bermain dram di festival tersebut viral di laman sosial.

“Cikgu atau kawan sekolah tidak tahu saya main dram tapi sekarang di sekolah banyak yang tahu lepas lihat video dan foto saya bermain dengan Search dalam festival baru-baru ini,” kata Naimi kepada media.

Ironinya Naimi yang sudah bermain dram sejak kecil mempunyai kumpulan sendiri, namun oleh kerana setiap anggota sedang mempunyai projek masing-masing, dia kini memberi fokus bersama Search.

Apa lagi dia akan terbabit dengan Konsert Fantasia Bulan Salju, 12 Ogos ini di Arena of Stars, Genting Highland.

Selain Naimi yang akan muncul dalam segmen khas, Arthur juga menjadi pemain dram pada konsert sama.

Bercakap mengenai mencari keserasian bersama empat anggota Search yang disegani iaitu Datuk Amy (vokalis), Nasir (bass), Man Kidal (gitar) dan Hillary (gitar), Naimi mengaku sedikit kekok pada awalnya.

“Pada awalnya memang sangat kekok tapi 'uncle-uncle' buat saya selesa apabila sering mengajak saya berbual.

“Saya juga belajar banyak perkara baharu bersama mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, peminat masih boleh mendapatkan tiket pada bahagian Rock Zone boleh dibeli menerusi sesawang rwgenting.com dan my.bookmyshow.com. -Gempak