HIBURAN
CJ Opiaza dinobat Miss Grand International 2024 setelah wakil India dilucut gelaran

Christine Juliane 'CJ' Opiaza dari Filipina secara rasmi dinobatkan sebagai Miss Grand International 2024 selepas penyandang asal, Rachel Gupta dari India, dilucutkan gelaran. -YouTube GrandTV
WAKIL Filipina, Christine Juliane “CJ” Opiaza, secara rasmi dinobatkan sebagai Miss Grand International (MGI) 2024 selepas penyandang Rachel Gupta dari India dilucutkan gelaran.
Ringkasan AI
- Christine Juliane -CJ- Opiaza dari Filipina secara rasmi dinobatkan sebagai Miss Grand International 2024 selepas penyandang asal, Rachel Gupta dari India, dilucutkan gelaran kerana gagal menunaikan tanggungjawab rasmi.
- Penobatan berlangsung di Bangkok dan disiarkan secara langsung, di mana CJ menyifatkan kemenangan ini sebagai detik bersejarah buat rakyat Filipina dan berjanji untuk menjunjung legasi MGI dengan penuh tanggungjawab.
- CJ, yang sebelum ini merupakan naib juara, secara automatik mengambil alih gelaran mengikut kontrak pertandingan, dan menerima sokongan padu daripada keluarga, peminat, serta pasukan di sebalik kejayaannya.
Dalam linangan air mata, Cj menyifatkan kemenangan ini sebagai detik bersejarah buat negaranya.
“Detik ini begitu tidak nyata. Dahulu saya hanya calon yang penuh harapan, namun kini saya berdiri sebagai Miss Grand International 2024.
"Ini bukan sahaja kemenangan saya, tetapi kemenangan untuk seluruh rakyat Filipina,” katanya dalam ucapan sulung.
Wanita berusia 26 tahun itu turut mengenang detik lucu sewaktu beliau masih bergelar peserta, apabila pengasas MGI berseloroh bertanya “Filipina, kenapa lambat sangat?”
Katanya, biarpun segala-galanya berlaku lewat, setiap perkara berlaku atas sebab yang terbaik dan tepat pada waktunya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada keluarganya, organisasi MGI, peminat dari Filipina, Thailand dan seluruh dunia serta pasukan rekaan busananya yang banyak memberi sokongan padu sepanjang perjalanan beliau dalam pertandingan tersebut.
“Saya tahu ini satu cabaran besar, tetapi saya sedia memikul tanggungjawab ini. Saya akan teruskan legasi Miss Grand International dan menjunjung nama Filipina setinggi mungkin,” katanya lagi.
CJ turut merakamkan penghargaan kepada penyokong-penyokong setia yang sentiasa hadir bersorak dalam setiap persembahan pentas.
“Mabuhay sa lahat ng mga Filipino. Terima kasih tak terhingga atas sokongan kalian sejak awal lagi. Ini adalah kemenangan kita semua,” katanya penuh semangat.
CJ secara automatik menyandang gelaran Miss Grand International berdasarkan kontrak pertandingan yang menetapkan naib juara akan mengambil alih sekiranya pemenang asal gagal menjalankan tanggungjawabnya.
Menurut organisasi MGI, Rachel Gupta yang sebelum ini memenangi MGI 2024, dilucutkan gelaran berikutan kegagalannya menunaikan tugasan rasmi, terlibat dalam projek luar tanpa kebenaran serta enggan menyertai lawatan anjuran organisasi ke Guatemala.
Dalam temu bual bersama ABS-CBN News sebelum berangkat ke Bangkok, Opiaza berkata beliau sudah lama bersedia memikul tugas dan gelaran itu jika diberi peluang.
“Saya tandatangan kontrak sebagai naib juara, dan saya tahu tanggungjawab ini akan datang jika diperlukan. Kini masa itu telah tiba,” ujarnya yakin. -Media Hiburan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami