PUTRAJAYA: Kerajaan akan mewujudkan dana bagi membantu penerbitan filem tempatan berunsur kenegaraan dan mempunyai eleman perpaduan dalam masa terdekat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan OST dan trailer filem 'Seratus' di sini hari ini, Annuar berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan, untuk mendapatkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi tujuan tersebut.

"Saya sedang usahakan dan doakan seberapa cepat.

"Saya rasa penggiat industri filem perlu dibantu lebih lagi, bukan sekadar DKD (Dana Kandungan Digital) dan FIMI (Insentif Penerbitan Filem di Malaysia) sahaja, kerana kita mahu galakkan penerbitan pelbagai genre filem serta meraikan mereka yang mempunyai idea kreatif," katanya.

Memahami kos penggambaran sesebuah filem adalah tinggi, Annuar berkata penggiat filem perlu dibantu dan disokong sejak dari proses awal penghasilan filem, bagi memastikan ia berkualiti dan setanding filem luar.

"Saya sedang cuba untuk melihat kemungkinan membuat suatu itu menjadi lebih fleksibel, jadi Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) boleh pilih filem yang patut diberikan sokongan (dana) khas ini," katanya.

Selain dana, Annuar berkata faktor kejayaan penghasilan dan kualiti sebuah filem tempatan bergantung kepada lakonan, skrip dan strategi pemasaran.

"Saya percaya industri filem tempatan boleh diangkat ke tahap lebih baik, dengan syarat penerbit dan pihak terlibat mestilah bersedia melakukan sesuatu di luar dari kelaziman," katanya.

Mengenai Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-32 yang akan diadakan di Melaka pada 2 Disember ini, Annuar berkata festival tersebut setakat ini telah dapat menarik penyertaan daripada 17 syarikat penerbitan filem luar negara.

"Penyertaan ini sudah tentu dihadiri penerbit dan pengarah filem dari luar, jadi ini akan jadi ruang pertemuan antara mereka dengan penggiat industri filem tempatan, sekali gus mempromosikan filem tempatan," katanya.

-- BERNAMA