BUKAN hanya aktif berlakon, tetapi pelakon Dazrin Kamarudin juga kini mula berjinak-jinak dengan kerja belakang tabir apabila bakal bergelar penerbit filem tidak lama lagi.

Menurut pelakon yang mula dikenali menerusi drama Adam dan Hawa ini, filem sulung terbitan produksinya sendiri, Flying D Entertainment itu bakal menampilkan sebuah cerita yang diangkat daripada kisah benar pernah berlaku ke atas dirinya dan isteri.

“Pada mulanya saya hanya berkongsi pengalaman yang dilalui itu bersama rakan-rakan, namun apabila mereka mendengar cerita saya itu, ramai yang kata menarik dan mencadangkan saya buat filem.

“Ia bukan tentang kisah percintaan saya dan isteri, tetapi merupakan sebuah kisah seram yang dilalui sendiri oleh kami sebelum isteri hamil anak pertama sehingga menjadikan kami trauma,” kongsi Dazrin.

Filem yang menggunakan tajuk sementara sebagai Kampung Jerit itu bakal menyaksikan Dazrin sebagai teraju utama, selain sebagai penulis lakon layar dan penerbit.

“Boleh ambil pelakon lain, tetapi disebabkan ia merupakan kisah yang dilalui oleh saya sendiri, mungkin lebih baik jika saya sendiri mengambil watak tersebut untuk lebih feel.

“Namun, watak isteri saya akan dijayakan pelakon lain kerana isteri tidak bersedia untuk berlakon. Jadi sehingga kini saya masih lagi mencari pelakon yang sesuai untuk watak itu.

“InsyaAllah jika semuanya berjalan lancar, ia akan memulakan penggambaran awal tahun depan, selain filem Jutawan Tak Ketahuan yang juga merupakan filem terbitan produksi saya” katanyanya.