Seorang penyokong bola sepak Malaysia yang tular baru-baru ini, Derrick Gan akui rasa terharu apabila menerima helmet koleksi eksklusif peribadi daripada pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad sewaktu membuat penampilan di acara MeleTOP semalam.

“Saya rasa terharu sebab tak tahu Nabil nak buat surprise sebab helmet itu pun daripada personal collection dia jadi saya hargai sangat.

“Terima kasih kepada Nabil, sebab sudi bagi hadiah, saya mungkin bukan peminat tegar dia tetapi saya salah satu peminat dia,” ujarnya ketika ditemui Gempak.

Dalam pada itu, Derrick, 30 turut berkongsi bahawa dia tidak menyangka reaksi spontannya ketika menonton bola sepak tersebut boleh menjadi tular sehingga telah menerima ribuan mesej di media sosialnya.

“Saya rasa stress jugak selepas viral ini sebab saya bukan sesiapa tapi saya dapat banyak mesej di DM (direct message) Instagram.

“Jadi saya masih sedang menyesuaikan diri dengan perubahan ini dan perlu sedikit masa untuk reply semua mesej orang,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, Derrick telah menerima kejutan daripada penyampai 3 pagi Era, Radin dengan sebuah motor skuter Modenas Karisma bernilai RM5,400. - Gempak