HIBURAN
“Di sana menanti, di sini menunggu” – Amir UK’s antara 82 mangsa ‘pakej haji percuma’

Amir (kiri) dan isterinya, Sarimah Ahmad meluahkan rasa kesal apabila terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 Jun lalu. - Foto Astro AWANI
SEPANG: “Di sana menanti, di sini menunggu…”
Ringkasan AI
- Jemaah haji terkandas akibat penipuan visa: Seramai 82 rakyat Malaysia termasuk penyanyi Amir UKs dipercayai ditipu dengan tawaran pakej haji percuma menerusi Visa Mujamalah dan terkandas di KLIA pada 1 Jun.
- Tiada wakil agensi hadir di KLIA: Para jemaah yang dijanjikan tajaan penuh hanya menunggu tanpa jawapan, sementara kumpulan WhatsApp yang awalnya aktif mula dikawal ketat tanpa ruang untuk bertanya.
- Siasatan polis sedang dijalankan: Amir telah membuat laporan polis pada 3 Jun dan setakat ini tujuh laporan telah diterima, dengan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
“Namun apa yang berlaku hanyalah penantian panjang tanpa jawapan, surat tawaran dihantar, kursus diatur, suntikan diambil.
“Malah dikhabarkan bakal berlepas dari Kompleks Bunga Raya KLIA dengan pesawat khas tetapi sehingga subuh, apa yang dijanjikan, tiada siapa datang, tiada pasport dan visa diserah.
“Surat tawaran oleh agensi pelancongan itu ada, disertakan tarikh, ada butiran penerbangan. Kami tunggu di KLIA jam 5 petang pada 1 Jun tapi tiada siapa datang. Hanya kami hadir sebab yang lain sudah lihat WhatsApp, ada mesej terkini katanya ditangguhkan.
“Keesokan malam, diminta tunggu lagi, katanya penerbangan sekitar 4 pagi pada 3 Jun, ramai hadir tapi akhirnya semua hampa,” kata Amir atau nama sebenarnya Mohd Azmir Muhammad Yusof, 56, kepada media, di sini, pada Rabu.
Menurutnya, mereka hanya menyedari ditipu apabila tiada seorang wakil agensi berkenaan hadir di KLIA, malah kumpulan WhatsApp yang pada mulanya aktif, mula dikawal ketat.
“Tak boleh komen. Hanya admin boleh buat hantaran. Kalau nak tanya, mesej peribadi. Kami ikut sahaja sebab semua ini tajaan. Kami tidak mahu banyak soal, sebab ini tajaan orang, segan kalau terlalu banyak soalan.
“Sebenarnya, kawan isteri saya yang beritahu peluang ni. Katanya ini rezeki ada orang nak tolong. Jadi kami pun fikir, mungkin ini peluang yang Tuhan bagi, agensi ini juga katanya sah sebab itu saya yakin dan tidak rasa ini penipuan,” ujarnya.
Rentetan itu, Amir tampil membuat laporan polis pada 3 Jun di Balai Polis KLIA untuk tindakan lanjut selain menasihatkan orang ramai mengambil teladan atas insiden ini.
Pada Rabu, polis menerima tujuh laporan setakat ini berhubung isu sekumpulan jemaah haji terkandas di KLIA dipercayai menjadi mangsa penipuan visa.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami