SELEPAS berbulan mencari, Disney akhirnya menemui pelakon yang sesuai untuk membawakan watak Mulan.

Aktres dari China, Liu Yifei, terpilih untuk membintangi filem live action terbaharu terbitan Disney itu.

Filem itu diadaptasi daripada animasi yang diterbitkan pada tahun 1998 yang berjaya mencapai kutipan AS$300 juta (kira-kira RM1.23 juta) di seluruh dunia.

Sebelum ini, terdapat kontroversi yang menyelubungi pemilihan pelakon yang bakal membawakan watak tersebut apabila ada ura-ura mengatakan Disney tidak memilih bangsa atau warna kulit dalam pemilihan pelakon untuk watak Mulan.

Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan peminat animasi itu yang tidak mahu kemelut yang melanda filem "Ghost in the Shell" yang dibintangi Scarlet Johannson berulang.

"Ghost in the Shell" merupakan animasi Jepun dan pemilihan Johannson sebagai watak utama mendapat kritikan ramai.

Disney dilapor akan mengumumkan pelakon-pelakon lain dalam masa beberapa minggu lagi.

Yifei, 30 tahun, merupakan antara pelakon hebat di China dan pernah membintangi beberapa filem blockbuster, antaranya "The Forbidden Kingdom" dan "Outcast".

Filem "Mulan" akan menemui penonton pada 2019.