KUALA LUMPUR : Bermula hari ini, pelanggan Astro boleh menstrim Disney+ Hotstar di kaca televisyen melalui Ultra Box.

Disney+ Hotstar menawarkan pelbagai jenis program termasuk filem panjang berciri asli, siri aksi langsung dan animasi serta kandungan bentuk pendek dan dokumentari.

Ia termasuk rancangan kegemaran ramai dari Marvel Studios seperti Moon Knight, filem pemenang Anugerah Akedemi, Encanto, drama Korea seperti Crazy Love dan Going to You serta siri baharu The Kardashians.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Astro TV, Euan Smith, pihaknya gembira untuk mengalualukan penyertaan Disney+ Hotstar dalam tawaran Ultra Box, untuk meningkatkan akses pelanggannya kepada kandungan hebat di satu tempat.

"Sebagai platform yang menempatkan pelbagai jenama dan francais yang paling ikonik, Disney+ Hotstar telah menyediakan pengguna di Malaysia denagn pelbagai kandungan asli dan tulen yang tidak berkesudahan dan menarik.

"Ia telah terbukti popular di kalangan pelanggan kami dan boleh diakses dengan mudah pada kotak peranti yang disambungkan di rumah.

"Perkhidmatan penstriman ini melengkapi rangkaian rancangan bahasa tempatan dan juga kandungan serantau Asia, di samping tawaran sukan global tiada tandingan kami, daripada Liga Perdana Inggeris kepada Sukan Asia dan Piala Dunia FIFA 2022.

Pihaknya juga berbangga untuk menjadi perkhidmatan penstriman terkumpul No. 1 di Malaysia denganAstro GO, Disney+ Hotstar, Netflix, TVB Anywhere+, HBO Go dan iQIYI yang kini sudah boleh ditonton serta banyak lagi yang akan datang.

Pek baru TV yang lebih padat, kini disediakan bersama aplikasi penstriman bermula serendah RM60 sebulan, memberikan kemudahan dan nilai kepada pelanggan.

Pelanggan sedia ada kami yang melanggan Pek Movies, Premium 1, Premium 3 dan Platinum akan mempunyai akses kepada Disney+ Hotstar dengan hanya perlu klik pada aplikasi Disney+ Hotstar di laman utama Ultra Box dan pada masa yang sama, memulakan proses log masuk pada skrin melalui tv.hotstar.com pada peranti lain.